Home Utama Pesta Arak: Jamal ‘mengamuk’ pecahkan botol arak depan SUK

Pesta Arak: Jamal ‘mengamuk’ pecahkan botol arak depan SUK

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos memecahkan berkotak-kotak minuman keras di sebagai tanda bantahan Pesta Arak 2017 pintu pagar pekarangan Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

SHAH ALAM – Lebih 10 kotak minuman keras dipecahkan oleh Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos di pintu pagar pekarangan Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di sini hari ini.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos (kanan) bersama ahli-ahlinya memegang kotak minuman keras di sebagai tanda bantahan Pesta Arak 2017 pintu pagar pekarangan Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Jamal yang datang bersama ahli-ahli NGO itu pada mulanya hanya berniat menyerahkan kesemua minuman keras itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun dihalang pihak berkuasa sebelum bertindak memecahkannya di hadapan pintu pagar bangunan berkenaan.

“Biar mabuk dalam SUK, jangan mabuk luar SUK. Biarkan sama ada Azmin Ali nak minum atau tak, nak melingkup, biar dalam pejabat dia.

“Tuan, kami nak hantar saja (arak) ke pejabat Azmin Ali, sebab dia tak hiraukan rakyat Selangor. Dia nak galakkan rakyat Selangor ini mabuk berpesta minum arak,” kata Jamal kepada penguat kuasa di bangunan SUK itu.

Bengang kerana dihalang menyerahkan arak kepada Mohamed Azmin, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mengambil sebotol minuman keras berkenaan dan memecahkannya di atas jalan raya.

Jamal juga membidas sikap kerajaan negeri yang secara terang-terangan menggalakkan pesta maksiat yang tidak menjejaskan sensitiviti umat Islam di Selangor.

“Patutnya Kerajaan Selangor menggalakkan buat perkara yang baik tapi menggalakkan rakyat Selangor melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh ini, merosakkan akhlak tak kira Melayu, Cina dan India.

“Bukan Islam pun tak suka, kalau nak minum, mereka minum dalam rumah, sebab itu kami datang nak bagi Azmin Ali minum,” katanya lagi.

Sebelum itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya tidak keberatan membenarkan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang membabitkan minuman keras di Centro Mall, Klang.

Menurutnya, penganjuran Pesta Arak 2017 itu mungkin dibenarkan sekiranya mengikuti segala peraturan dan syarat yang dikenakan pihak berkuasa tempatan.- MalaysiaGazette

Comments are closed.