PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangani isu keluhan segelintir mangsa keganasan rumah tangga yang mendakwa sukar membuat laporan polis.
Jelas menterinya, Datuk Seri Rina Harun, perkara itu akan dibawa dalam libat urus yang sentiasa diadakan dengan KDN.
“Isu berhubung balai polis ini kita akan adakan libat urus dengan KDN supaya masalah ini dapat diatasi. Input seperti ini akan juga dimasukkan dalam libat urus berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Wanita Bangkit di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan segelintir mangsa keganasan rumah tangga di media sosial mendakwa berhadapan kesukaran untuk membuat laporan polis.
Mengulas lanjut, Rina menyarankan supaya mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan laporan perubatan tentang kecederaan yang dialami daripada hospital untuk dijadikan bukti di balai polis.
Ujarnya, laporan kecederaan akan menguatkan bukti untuk pihak polis melakukan tindakan selanjutnya dengan segera.
Dalam masa yang sama laporan perubatan boleh digunakan untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sekiranya berlaku keganasan rumah tangga dan ada luka sebagai contoh, pergi ke hospital terus untuk dalatkan laporan supaya balai polis tidak boleh menidakkan laporan yang dibuat,” tambah beliau.
Terdahulu Rina berkata, selain Talian Kasih terdapat talian lain untuk melaporkan keganasan rumah tangga termasuklah Family Care. – MalaysiaGazette