Home Nasional Deftech Technologies perkenal pesawat UAV buatan Malaysia

Deftech Technologies perkenal pesawat UAV buatan Malaysia

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat pesawat UAV yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) ketika melawat ruang pameran sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

PETALING JAYA – Syarikat DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd (Deftech) mempamerkan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) pertama buatan Malaysia dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, pembangunan UAV taktikal pertama negara itu secara tidak langsung mengorak langkah industri pertahanan negara.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu pencapaian yang membanggakan industri pertahanan tempatan.

“Pembinaan UAV ini dapat melipatgandakan keupayaan pasukan pertahanan dan keselamatan di lapangan. Ia turut menyediakan platform yang selamat untuk mengendalikan apa jua situasi atau persekitaran yang bahaya dan mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Fazley berkata, pesawat itu telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Asghar Khan Goriman Khan ketika membuat lawatan ke ruang pameran Deftech.

Dalam pada itu, Fazley menambah, pesawat UAV buatan Deftech mampu melaksanakan operasi dalam kawasan yang sukar selain berupaya diatur gerak pada waktu siang dan juga malam.

“UAV ini direka bentuk dengan berat maksimum 120 kilogram untuk berlepas, ketahanan selama 10 jam dengan jarak 100 kilometer serta boleh menampung kapasiti muatan seberat 15 kilogram.

“Pembangunan UAV ini juga adalah hasil daripada pengalaman dan kerjasama yang dijalin dengan pasukan pertahanan serta keselamatan yang mengendalikan dron untuk operasi yang berbeza.

“Penggunaan UAV oleh tentera dan keselamatan awam pasti akan menjadi aset untuk keselamatan negara Malaysia, terutamanya untuk situasi kritikal dan sensitif masa,” katanya. – MalaysiaGazette