KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kelantan United FC, Syamsul Mohd. Saad menarik nafas lega apabila skuad kendaliannya berjaya meraih kemenangan sulung di pentas Liga Premier selepas menewaskan PDRM FC, 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur biar pun para pemainnya masih belum beraksi di tahap yang memuaskan.
Beliau melihat persembahan baik yang ditunjukkan pasukan lawan membuatkan pemain-pemainnya panik terutama dalam tempoh 15 minit terakhir bagi mempertahankan kelebihan jaringan yang dilakukan Njoku Jacob pada minit-56.
Beliau berharap tiga mata pertama yang diraih itu akan menaikkan moral majoriti pemain muda dalam pasukan bagi harungi perjalanan Liga Premier pada musim ini.
“Memang dari mula perlawanan ini, kami tahu perlawanan ini sangat penting dan bukan mudah berdepan PDRM yang kita tahu merupakan sebuah pasukan yang kuat.
“Saya tahu pemain sudah berikan terbaik yang mereka boleh berikan cuma masalahnya, kita boleh nampak semasa kita dalam situasi sedang mendahului, pemain-pemain sangat takut memegang bola terlalu lama kerana mereka tertekan untuk menang.
“Malah dalam situasi seorang sahaja pemain lawan memberikan tekanan dan kita ada dua pemain di bawah, mereka tetap menyepak bola keluar dari kawasan sendiri.
“Bagaimanapun, saya tetap mahu mengucapkan tahniah pemain-pemain kerana berjaya menang ke atas PDRM kerana lawan sebenarnya bermain sangat baik dengan menguasai sebahagian besar perlawanan, harap kemenangan ini mampu menaikkan moral pasukan,” katanya.
Kemenangan itu membawa Kelantan United naik ke tangga keenam selepas dua perlawanan menerusi pungutan tiga mata.
Kelantan United sebelum ini tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim II pada perlawanan sulung mereka di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Sementara itu, ketua jurulatih PDRM DC, Wan Rohaimi Wan Ismail, berasakan rezeki tidak berpihak kepada pasukannya selepas memperagakan peningkatan berbanding ketika mereka tewas 0-2 kepada Perlis United di pusingan pertama Piala FA.
Tambahnya, jaringan penalti yang dilakukan Jacob pada separuh masa kedua sedikit sebanyak menjejaskan momentum pemain-pemain yang telah beraksi cemerlang.
“Minggu yang sukar bagi kami tetapi hendak dibandingkan dengan perlawanan semasa bertemu Perlis, saya rasa sangat jauh berbeza kerana hari ini lebih baik cuma sepakan penalti yang diberikan kepada lawan menjejaskan semangat kami.
“Saya masih lagi berlapang dada kerana dari segi momentum dan komitmen pemain, saya sangat berpuas hati serta mahu mengucapkan terima kasih di atas mereka berikan.
“Takdir seperti tidak menyebelahi kami untuk perlawanan ini, cuma saya minta pemain jangan sikap berputus asa kerana perjalanan liga pada musim ini masih lagi panjang.
“Cuma saya akui pasukan masih tercari-cari rentak yang hilang sebelum kami dilanda Covid-19 dan harap ada sinar selepas ini, malah saya juga mahu pemain import kembali bangkit kerana persembahan mereka masih lagi 50-50 di mata saya,” katanya. – MalaysiaGazette