Home Seni Hidup Will Smith lempang Chris Rock gara-gara isterinya dihina

Will Smith lempang Chris Rock gara-gara isterinya dihina

Aksi Smith menampar Rock pada siaran langsung Anugerah Akademi di Los Angeles, Amerika Syarikat mengejutkan penonton di Dolby Theatre dan seluruh dunia yang menyaksikan acara itu.

LONDON – Pelakon popular Hollywood, Will Smith hilang sabar apabila dia tiba-tiba naik ke atas pentas dan menampar muka pelawak, Chris Rock ketika siaran langsung  Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 hari ini.

Pelakon itu bertindak di luar kawalan gara-gara Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith iaitu Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Sebelum ini, Pinkett mengumumkan terpaksa mencukur rambut dan tampil botak berikutan mengalami masalah keguguran rambutnya.

Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Anugerah Akademi Ke-94 naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.

Kamera yang menghalakan ke wajah Smith di bawah pentas yang melihatkan dia kelihatan marah sambil memberi amaran agar isterinya tidak dijadikan bahan lawak.

Dalam pada itu, pada acara tersebut juga Will telah dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik menerusi lakonannya dalam filem King Richard.

Dalam pada itu, pergeseran dua bintang Hollywood itu sebelum ini bukan lagi rahsia. – MalaysiaGazette

+ posts