Home Ekonomi Malaysia gesa pemain logistik buka operasi di DTFZ

Malaysia gesa pemain logistik buka operasi di DTFZ

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia (DFTZ) bakal menjadi hab logistik terbesar di rantau ASEAN dengan jangkaan urusniaga barangan bernilai US$65 bilion (RM280.8 bilion) sebaik ia mula siap beroperasi di KLIA Aeropolis menjelang tahun 2025.

Mengambilkira nilai perdagangan yang besar tersebut, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa pemain logistik rantau tersebut mengambil peluang keemasan itu untuk membuka operasi mereka di DTFZ nanti.

“Dengan jumlah perdagangan yang luas ini, ia bakal menjadikan KLIA Aeropolis sebagai Hab Pemenuhan Elektronik bagi e-dagang merentas rantau.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa kamu semua mengambil peluang keemasan ini untuk membuka pusat operasi kamu di DTFZ dan KLIA Aeropolis,” kata beliau semasa ucaptama Kongres Dunia Persatuan Persekutuan Antarabangsa Penghantar Fret (FIATA) ke-56 hari ini.

DFTZ direncanakan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan perdagangan elektronik (e-dagang) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Ia merupakan zon perdagangan pertama di dunia yang menyediakan pelbagai fasiliti berbentuk fizikal dan maya bagi membantu perniagaan untuk menceburi perniagaan berasaskan internet / dalam talian / online.

Menurut Tiong Lai, DTFZ akan membantu mengurangkan kos perdagangan dan meningkatkan jumlah perdagangan antara negara di rantau ASEAN.

“Oleh yang sedemikian, dijangka semua barangan akan dihantar dalam tempoh 72 jam ke negara ASEAN menerusi jalan udara di KLIA dan jalan laut di Pelabuhan Klang,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, sebaik DTFZ siap, Malaysia akan memfokuskan untuk meningkatkan trafik kargo dan logistik daripada jumlah sedia ada.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kargo kepada 2.5 juta kepada tiga juta tan menjelang 2050 daripada jumlah semasa hanya 726,000 tan menguasai pasaran e-dagang yang lumayan dan menjadi pemain utama hab pemasaran serantau,” katanya lagi.

DTFZ merupakan sebuah eHub yang dirancang secara bersama antara Alibaba dan Kerajaan Malaysia menerusi MDeC dibawah inisiatif Platform Dagangan Elektronik Dunia (eWTP). – MalaysiaGazette