AYER KEROH – Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak kini sedang merangka pelbagai program baharu sejajar dengan peralihan negara ke fasa endemik yang akan bermula pada 1 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Hafez Hussain berkata, antara program rehabilitasi yang akan diperkenalkan tidak lama lagi adalah Telerehabilitation yang menggunakan kaedah telekomunikasi secara video (VTC – teleconfrence) bersama pesakit atau orang berinsurans (OB).
“Program rehabilitasi secara VTC ini telah digunapakai bersama OB kita sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu lagi. Langkah ini dilaksanakan kerana kita perlu mengelakkan aktiviti bersemuka antara pesakit dan pelatih untuk menjalankan terapi mereka.
“Melalui pengalaman dua tahun itu, kita akan mempertingkatkan lagi program ‘Telerehabilitation’ pada fasa endemik ini. Secara amnya, kita melihat penggunaan teknologi ini sebagai satu enabler atau pembolehbaik kepada penyampaian perkhidmatan rehabilitasi untuk semua pesakit kita yang berada di seluruh negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media program Perkeso’s Media Fam Trip 2022 di PRP Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kaedah ini dilaksanakan kerana tidak semua OB dapat hadir ke Pusat Rehabilitasi Perkeso ini bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan kerana jumlah kapasiti katil yang disediakan terhad.
Sebanyak 381 buah katil disediakan di PRP Tun Abdul Razak manakala senarai OB yang ingin mendapatkan perkhidmatan juga tinggi.
Bagaimanapun, Datuk Dr. Hafez berkata, mereka yang mengikuti dipilih untuk mengikuti program itu bergantung kepada penilaian kecederaan, jika serius dan kritikal ia akan ditempatkan di pusat rehabilitasi itu bagi membantu mereka pulih dengan segera.
“Apabila kita menggunakan perkhidmatan rehabilitasi secara maya ini, pesakit akan diberikan peralatan rawatan yang mudah untuk digunakan di rumah seperti hand rehabilitation glove. Mereka juga boleh menggunakan alatan ini di tempat kerja untuk latihan fisioterapi mereka.
“Kita juga melihat ada OB yang perlu masuk tempat kerja secepat mungkin kerana diperlukan majikan, jadi kita harus membantu golongan ini untuk kembali produktif dan bukan mengurangkan kebolehfungsian mereka untuk bekerja di tempat masing-masing,” katanya.
Datuk Dr. Hafez menambah, statistik pesakit yang telah pulih selepas mendapatkan rawatan fisoterapi di pusat rehabilitasi di seluruh negara sejak 2014 hingga tahun ini berjumlah 9,500 orang.
Sementara itu, sebanyak 7,800 orang tekah mendapat rawatan di PRP Tun Abdul Razak sejak ia ditubuhkan pada 2014 dengan membantu OB mendapatkan peluang kedua untuk kembali bekerja seperti biasa.
Sehingga kini terdapat enam buah Pusat Rehabilitasi Perkeso iaitu di Ayer Keroh, Melaka; Ara Damansara, Selangor; Quill City Mall, Kuala Lumpur; Tanjung Pelepas, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu serta Kubang Kerian, Kelantan yang dilakukan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
Datuk Dr. Hafeez memberitahu, Perkeso akan membuka satu lagi Pusat Rehabilitasi di Ipoh, Perak yang dijangka siap menjelang Oktober 2024.
Ia bakal menjadi pusat Neuro-Robotics dan Cybernics terbesar di Asia Tenggara, ujarnya.
Pusat rehabilitasi ketujuh itu akan dibina di atas tanah seluas 36.81 hektar melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta daripada Perkeso. – MalaysiaGazette