Home Utama Bayaran pengeluaran khas mulai 20 April dalam satu bayaran sahaja – KWSP

Bayaran pengeluaran khas mulai 20 April dalam satu bayaran sahaja – KWSP

KWSP EPF withdrawal Employees Provident Fund
Application for the special one-off EPF withdrawal could be made from 1 April onwards and the payment will be made from 20 April in a single transaction. Pengeluaran khas KWSP boleh dibuat mulai 1 April 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ingin membuat pengeluaran khas boleh berbuat demikian melalui portal http://pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun bermula 1 April ini.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli.

Katanya, ahli perlu memastikan akaun bank mereka adalah aktif dan di bawah nama ahli sendiri.

Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan. Semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

Perkembangan terbaharu ini adalah lanjutan daripada pengumuman KWSP pada 16 Mac lalu yang membenarkan pengeluaran khas kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022 dan berakhir pada 30 April 2022, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April 2022.

Menerusi kenyataan itu, KWSP menggalakkan ahli-ahli KWSP untuk menyemak baki simpanan mereka melalui i-Akaun (Ahli), aplikasi mudah alih i-Akaun, atau Kios KWSP.

Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50.

Katanya, ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun mereka.

“Pengeluaran Khas ini bertujuan untuk membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini.

“KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan, dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu.

“Ahli boleh berjumpa dengan pegawai Khidmat Nasihat Ahli di cawangan KWSP seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan KWSP mereka,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas ini boleh didapati di ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP, atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848 bermula 1 April 2022. – MalaysiaGazette