Home Politik Pemilihan PKR: Amirudin sedia berdepan siapa pun pencabar

Pemilihan PKR: Amirudin sedia berdepan siapa pun pencabar

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak Amirudin Shari PKR Gombak election
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media pada Majlis Menandatangani MoU kerjasama dalam perkongsian data kuantiti dankualiti air antara Luas dan Agensi berkepentingan di Bangunan Sultan Salahuddin, Abdul Aziz Shah. Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 29 MAC 2022.

SHAH ALAM – Ketua Cabang Keadilan Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari sedia berdepan dengan sesiapa sahaja yang mahu berebut jawatan yang disandangnya itu dalam pemilihan parti pada April ini.

Bagaimanapun Amirudin memberitahu, selagi mana senarai calon termasuk pencabarnya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak belum didaftarkan sebelum 8 April ini, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Ya (sedia berdepan siapa pun pencabar) tapi pendaftaran atau penamaan pada 8 April 2022, sebelum tarikh itu semua masih lagi hipotesis dan in planning.

“Masa nak makan pun kadang-kala tersasul tak tersuap makanan itu, jadi saya tak nak komen.

“Selepas 8 April ini baru saya boleh komen,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Pada 7 Februari lalu, Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak mengesahkan akan bertanding di bahagian Gombak, menentang Menteri Besar Selangor.

Menurut Farhash, bukan sahaja ia selaras dengan demokrasi bahkan tindakannya itu mengikut peraturan dan peruntukan yang termaktub dalam parti.

Sebelum ini Amirudin dilihat sebagai penyokong tegar bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, antara individu yang menyebabkan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.

Pemilihan PKR bagi sesi 2022 hingga 2025 akan berlangsung pada 22 hingga 29 April manakala Kongres Nasional dari 10 hingga 12 Jun ini. – MalaysiaGazette