Home Utama MCA minta taikun rapat dengan Dr. Mahathir keluar parti

MCA minta taikun rapat dengan Dr. Mahathir keluar parti

Tan Sri Lee Kim Yew Mahathir Mohamad The Mines Resort Country Heights Holdings Pejuang MCA Barisan Nasional BN
Tan Sri Lee Kim Yew

KUALA LUMPUR – MCA meminta pengasas The Mines Resort Tan Sri Lee Kim Yew supaya keluar daripada parti itu.

Ketua Pemuda MCA Datuk Nicole Wong membuat gesaan terhadap taikun hartanah itu selepas beliau dilihat begitu mesra dengan Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Nicole berkata, MCA menerima banyak aduan mengenai tingkah laku Kim Yew yang didakwa telah turun berkempen untuk  Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Tan Sri Lee Kim Yew yang dihormati, jika anda ‘sayang’ dengan Tun Mahathir dan Pejuang berada dalam hati anda, sila keluar daripada MCA.

“MCA mempunyai peraturan dan ramai ahli telah membuat aduan tentang anda berkempen dengan Tun Mahathir dan Pejuang dalam pilihan raya negeri Johor baru-baru ini,” kata Nicole ringkas dalam Facebooknya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Kim Yew berkempen Dr Mahathir di Ayer Hitam pada 3 Mac lalu dan menggesa masyarakat Cina mengundi Pejuang dalam PRN Johor.

Pada majlis makan tengah hari bersama pengerusi Pejuang, taikun tersebut memuji  Dr. Mahathir ketika memimpin Malaysia semasa memegang jawatan perdana menteri kali pertama.

Beliau berkata, Malaysia akan menghadapi masalah besar semasa krisis kewangan Asia 1997 jika tidak kerana Dr. Mahathir.

Taikun hartanah itu juga membidas Ahli Parlimen Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggesa ahli masyarakat supaya tidak bergaul dengan “orang yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah”.

Bagaimanapun Pejuang telah menafikan spekulasi yang mengaitkan parti itu dengan hartawan tersebut walaupun Kim Yew hadir bersama Dr. Mahathir dalam kempennya di Johor.

Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin memberitahu media bahawa Kim Yew hadir bersama Dr Mahathir hanya untuk menawarkan sokongan moralnya kepada orang yang bukan ahli keluarga itu dan tidak lebih.

“Ya, dia cuma berdebar dengan Tun, saya rasa mungkin kerana ini kali pertama Tun keluar selepas dia pulih.

“Jadi saya rasa dia ada di sana hanya untuk menunjukkan sokongan,” kata Ulya.-MalaysiaGazette