Home Nasional Tun M ucap terima kasih kepada pakar IJN dan pakar perubatan jemputan

Tun M ucap terima kasih kepada pakar IJN dan pakar perubatan jemputan

Institut Jantung Negara
Institut Jantung Negara

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada pakar-pakar perubatan Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar perubatan jemputan atas kepakaran serta kebolehan mereka merawat beliau ketika menjalani rawatan di pusat rawatan jantung itu Januari lepas.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau sudah percaya bahawa hayatnya sudah tiba namun dengan rawatan yang diberikan oleh doktor-doktor pakar, penolong doktor serta bantuan daripada pekerja-pekerja di IJN mereka berjaya memulihkan kesihatannya.

“Bagi saya ini adalah satu keajaiban, saya tidak menyangka untuk hidup. Saya menjangka akan mati kerana saya sudah tua dan saya juga menghidap penyakit yang serius yang memberi kesan… mula-mula jantung saya, apabila jantung lemah ia memberi kesan kepada paru-paru dan apabila paru-paru lemah ia memberi kesan kepada buah pinggang dan seterusnya.

“Tetapi entah bagaimana atau lebih tepat doktor memulihkan saya dan akhirnya saya dibenarkan keluar dan agak sihat, bukan seratus peratus tetapi cukup untuk saya meneruskan kerja yang perlu saya lakukan,” katanya menerusi saluran rasminya di YouTube CHEDET hari ini.

Tun Mahathir berkata ini sesuatu yang patut dibanggakan kerana rakyat Malaysia tidak perlu lagi ke mana-mana untuk mendapat rawatan kerana negara ini sudah mempunyai pakar perubatan yang boleh merawat penyakit serius seperti dialaminya.

“… seperti yang anda tahu saya juga dilatih sebagai doktor dan semasa saya bermula pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, pada ketika itu terdapat ‘slot khas’ untuk doktor Malaysia terutama doktor Melayu, doktor-doktor di hospital pada masa itu dikenali sebagai pembantu pegawai perubatan… tidak ada orang Asia boleh menjadi pegawai perubatan… kerana tiada kepercayaan terhadap doktor Malaysia.

“Saya amat percaya bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain boleh lakukan. Semasa saya (sebagai perdana menteri) saya pernah bercakap bahawa Malaysia kita boleh… kita cekap,” katanya.

Dalam video berdurasi kira-kira lapan minit itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, kekal bertenaga dan kelihatan sihat ketika menyampaikan ucapan berkenaan.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif  sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan namun beliau dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang 5 Feb.

— BERNAMA