Home Utama Pekerja pembersihan lega, KPM janji selesaikan tunggakan gaji

Pekerja pembersihan lega, KPM janji selesaikan tunggakan gaji

Seorang pekerja pembersihan melibatkan 19 sekolah di sekitar Sabak Bernam Selangor tidak dapat menahan sebak semasa memegang plakad bagi menuntut tunggakan gaji empat bulan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Putra Perdana Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Seramai 53 orang pekerja pembersihan sekolah di sekitar Sabak Bernam dekat sini kini menarik nafas lega setelah tuntutan lima bulan gaji sejak November tahun lepas akan dibayar oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Wakil pekerja, Normah Hassan berkata, hasil rundingan bersama KPM  berjanji akan menyelesaikan isu berkenaan selewat-lewatnya Jumaat ini.

“Setelah saya berbincang dengan wakil KPM dan wakil Pejabat Perdana Menteri, mereka berjanji akan bantu untuk selesaikannya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pekerja pembersihan melibatkan 19 sekolah di sekitar Sabak Bernam Selangor memegang plakad bagi menuntut tunggakan gaji empat bulan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Putra Perdana Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2022.

Dalam pada itu, Normah menjelaskan, pihak berkenaan pada awalnya meminta tempoh antara seminggu hingga dua minggu namun mereka menolaknya dan minta ia disegerakan.

Menurutnya, masalah itu terjadi selepas berlaku perubahan syarikat kontraktor pada 2019.

Pekerja pembersihan melibatkan 19 sekolah di sekitar Sabak Bernam Selangor membawa bekalan makanan dan minuman untuk berkumpul bagi menuntut tunggakan gaji empat bulan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Putra Perdana Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2022.

“Ini kali pertama jadi sampai berbulan-bulan tertunggak, apa yang saya nak adalah duit gaji yang belum dibayar sebab kita nak masuk bulan puasa, persiapan nak teruskan kehidupan lagi,” ujarnya.

Tukang kebun, Osman Utot.- Foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2022.

Sementara itu, Osman Utot, 46, yang turut serta dalam rundingan berkenaan mahu surat bertulis mengenai janji yang diputuskan dalam rundingan kira-kira satu jam itu.

“Apa yang kami minta sekarang ialah surat bertulis yang boleh jadi bukti hitam putih sebab semua yang pegawai tadi cakap hanyalah janji di mulut,” katanya lagi.

Jelas Osman, KPM mula menandatangani tuntutan pekerja itu selepas menerima desakan bahawa kesemua pekerja akan ‘bermalam’ di situ jika tiada bukti bertulis dikeluarkan.

Sementara itu, penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Daniel Hakeem berkata, syarikat kontraktor yang didakwa bermasalah itu adalah AS Rezeki Resources dan Panggilan Efektif Enterprise.

Pekerja pembersihan melibatkan 19 sekolah di sekitar Sabak Bernam Selangor berkumpul bagi menuntut tunggakan gaji empat bulan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Putra Perdana Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2022.

Ulasnya, pelbagai cara telah dilakukan termasuk menghantar surat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam namun tiada maklum balas positif yang diterima.

Tambah Daniel, isu itu menjadi lebih kritikal apabila majikan tidak pernah mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk kumpulan pekerjanya.

Protes aman tersebut kemudiannya bersurai kira-kira pukul 3.30 petang selepas mendapat surat bertulis daripada KPM untuk menyelesaikan dua tuntutan termasuk menamatkan kontrak syarikat berkenaan jika didapati bersalah.- MalaysiaGazette