KUALA LUMPUR – “Bila masa Barisan Nasional (BN) tidak tepati janji? Saya ada bukti kerajaan BN yang beri kelulusan peruntukan untuk pembangunan sekolah Tamil.”
Itu tegas bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menjawab tuduhan Ahli Parlimen Kulai yang sebelum ini meminta bukti peruntukan RM39 juta untuk pembangunan sekolah Tamil diluluskan semasa pentadbiran kerajaan BN.
Menurut Kamalanathan yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CWC) MIC, persoalan yang dikemukakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching itu dianggap tidak masuk akal.
“Kalau dia (Nie Ching) nak persoalkan sumbangan BN kepada masyarakat India, tengok dulu apa yang dia sudah sumbangkan.
“MIC ambil peranan mencadangkan pembinaan 50 buah prasekolah tapi yang Teo Nie Ching buat hanyalah potong riben perasmian prasekolah itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MIC, Menara Manickavasagam hari ini.
Tambah Kamalanathan, kerajaan BN terdahulu telah meluluskan peruntukan RM50.6 juta dengan bayaran secara dua peringkat untuk pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara.
Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menandingi sumbangan BN dalam membantu masyarakat India sebaliknya mereka hanya ‘membantu’ untuk membatalkan projek yang dirancang oleh kerajaan BN.
“Selama 22 bulan YB Kulai jadi Timbalan Menteri Pendidikan, itu pun tidak boleh keluarkan surat kelulusan. Apa projek baru sepanjang 22 bulan yang dia buat untuk pembangunan sekolah Tamil selain daripada ‘membantu’ membatalkan projek sedia ada,” ujarnya.
Mengulas lanjut, MIC juga kesal apabila PH telah membatalkan 13 projek sekolah-sekolah Tamil yang telah diluluskan oleh kerajaan BN pada 2018.
Ketika ditanya mengenai pencapaian BN membantu masyarakat India, Kamalanathan berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah memperuntukkan hampir RM1 billion untuk kaum India.
“Terima kasih Datuk Seri Najib yang jadi Perdana Menteri dari 2009 sampai 2018, hampir RM1 billion peruntukan pembangunan diluluskan untuk penambaikan pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette