AYER KEROH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini menyediakan pusat rehabilitasi bertaraf dunia bagi orang berinsurans (OB) yang mengalami musibah dan perlu menjalani rawatan itu di Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, Melaka.
PRP Tun Abdul Razak yang terletak di Bandar Hijau antara yang pertama di Malaysia menempatkan Pusat Rehabiliasti Neuro -Robitics dan Cybernics dilengkapi dengan sut robot HAL (Hybrid Assistive Limb) iaitu teknologi neuro-robotik terkini dari Cyberdyne Inc. Jepun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Hafez Hussain berkata, sut robot berupaya memulih, menyokong dan mempertingkatkan tahap fungsi pergerakan anggota pesakit apabila dipakai berdasarkan teknologi cybernics yang menggabungkan interaksi antara manusia dan robot.
“Ini merupakan teknologi robotik terkini yang diperoleh dari negara Barat dan yang terbaharu dari Jepun. Ia sesuatu yang menjadi kebanggaan kita kerana menjadi negara keempat di dunia dan pertama di rantau ASEAN yang mengguna pakai teknologi ini.
“Perancangan masa depan PERKESO untuk memperluaskan perkhidmatan teknologi Cyberdyne di Malaysia dan rantau ini,” katanya dalam sidang media sempena program PERKESO’s Media Fam Trip 2022 di PRP Tun Abdul Razak di sini baru-baru ini.
Jelasnya, rawatan rehabilitasi menggunakan sut robot HAL dikhususkan kepada OB yang mengalami kecederaan saraf tunjang atau otak seperti lumpuh, penyakit neurodegeneratif dan sebagainya.
PRP Tun Abdul Razak kini memiliki sebanyak 24 unit sut robot HAL iaitu Lower Limb, Single Joint, Lumbarm dan Lumbar for Labor Support.
Sementara itu, Jamil Endan, 40, merupakan OB yang sudah menjalani terapi selama tiga bulan di pusat itu mengakui keadaan kesihatannya kini semakin bertambah baik malah kini berupaya untuk berjalan menggunakan tongkat.
Bapa kepada empat orang itu juga berpuas hati dengan rawatan terapi menggunakan sut robot HAL yang sukar diperoleh di pusat rehabilitasi yang lain.
Jamil sebelum ini bekerja sebagai pemandu telah diserang angin ahmar pada Mac 2020 hingga menyebabkan keadaan fizikalnya lumpuh separuh badan di sebelah kiri dan terlantar di atas katil.
“Saya masuk sini memang ada perkembangan untuk diri saya dalam tempoh dua bulan selepas mendapatkan perkhidmatan sut robot HAL. Kini saya gembira dapat berjalan kembali tetapi menggunakan tongkat walaupun belum boleh berjalan jauh lagi.
“Saya sebelum ini telah diserang angin ahmar dan terlantar hampir dua tahun. Rawatan menggunakan teknologi di pusat rehabilitasi di sini amat membantu memulihkan hidup saya dan berhasrat untuk kembali bekerja selepas ini.
“Sebagai pencarum PERKESO, saya amat bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk rawatan rehabilitasi saya. Semuanya ditanggung oleh PERKESO malah kita yang tinggal di asrama ini turut mendapat elaun, saya bersyukur sangat,” katanya.
Dalam pada itu, PRP Tun Abdul Razak turut menyediakan program rehabilitasi vokasional iaitu latihan secara intensif bagi memastikan OB yang menetap di sini mempunyai kemahiran yang diperlukan industri .
Ini bagi membantu mereka yang telah terjejas dengan pekerjaan untuk berdikari sendiri dan kembali bekerja selepas mengalami hilang upaya.
Antara program yang disediakan seperti jahitan, bakeri dan kulinari, eletrik dan elektronik, rekaan grafik, kraf tangan, mendandan rambut, menjahit baju untuk orang kelainan upaya, pengurusan pejabat dan kemahiran berkomputer. – MalaysiaGazette.