Home Dunia Pesawat B787 bekas presiden Mexico ditawarkan untuk disewa

Pesawat B787 bekas presiden Mexico ditawarkan untuk disewa

Foto: FB The Merida Yucatan Bulletin

LONDON – Presiden Mexico, Andrea Manuel Lopez Obrador menyerah kalah dalam rancangan untuk menjual pesawat peribadi bekas presiden bernilai AS$218 juta, sebaliknya merancang menyewa jet itu untuk majlis perkahwinan ataupun parti.

Lopez Obrador mengaku kerajaannya menghadapi masalah untuk menjual pesawat Boeing, B787 Dreamliner, yang beliau sifatkan sebagai pesawat mewah dan enggan menggunakannya sejak memasuki pejabat pada 2019.

Pesawat bernilai AS$131 juta akan dipulangkan kepada syarikat Omelca-Maya-Mexica yang dikendalikan tentera yang akan mengendalikannya dari Lapangan Terbang Anyatabangsa Filipe Angeles yang baharu di Mexico City, lapor Mail Online.

Pesawat tersebut akan kekal di sana sebelum diterbangkan ke perbandaran Santa Lucia di mana ia akan ditempatkan untuk pelanggan pertama.

“Ia sesuatu benda yang mengagumkan, sangat mewah, begitu juga dengan pengalaman. Terdapat mereka yang sanggup membayar untuk terbang, mereka bayar dalam jumlah yang banyak, oleh itu pesawat ini akan berada di sana,” kata Lopez Obrador.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kadar sewanya.

“Bayaran sewaan yang diperoleh akan digunakan untuk membayar perbelanjaan dan penyelenggaraan. Ia akan dibuka kepada umum jika sesiapa mahukannya, untuk mereka yang berkahwin, untuk mereka yang mahu membawa rakan dan keluarga atau mengedakan parti, hari jadi,” katanya.

Keluarga di Mexico sering menganjurkan parti untuk anak perempuan apabila mereka mencapai usia 15 tahun.

Sejak 2018, Lopez Obrador cuba menarik syarikat besar dan eksekutif membeli pesawat tersebut.

Kerajaan negara itu mempertimbangkan untuk membida pesawat tersebut pada harga AS$120 juta selepas pembeli berpotensi yang tidak dikenali melakukan tawaran untuk membayar sebahagian dalam bentuk tunai dan baki dalam bentuk peralatan perubatan.

Beliau memberitahu, pesawat tersebut sukar dijual kerana ia ditempah secara khusus. Tambahnya, kerajaan masih mahu menjual pesawat tersebut selepas hampir tiga setengah tahun dengan kebarangkalian untuk ia dibeli adalah kecil.

Pesawat tersebut dibeli pada harga AS$200 juta sebelum tempoh Felipe Calderon sebagai Presiden tamat dan ia digunakan presiden sebelum ini, Enrique Pena Nieto.

Sebanyak AS$70 juta dibelanjakan bagi tujuan mengubah rupanya. Pesawat tersebut mempunyai beberapa bilik, bilik air yang dilengkapi mamar selain suite presiden.

Pesawat itu telah melakukan 214 penerbangan rasmi bermula Februari 2016 dan dihentikan perkhidmatan pada 2018 selepas Pena Nieto terbang ke Buenos Aires, Argentina bagi menghadiri mesyuarat G20. – Agensi

(https://www.dailymail.co.uk/news/article-10660581/Mexico-rent-presidential-jet-weddings-parties.html)