Home Nasional TLDM ditawar korvet ganti LCS

TLDM ditawar korvet ganti LCS

Bulent Soydal

KUALA LUMPUR – Syarikat Kejuruteraan dan Teknologi Pertahanan Turki, STM Defence merancang menawarkan korvet (kapal perang kecil) keapda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menangani ancaman di perairan negara.

Timbalan Pengurus Besar STM Defence, Bulent Soydal berkata, tawaran tersebut dapat membantu Malaysia memenuhi keperluan aset TLDM selepas berdepan isu kelewatan perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Malah katanya, STM Defence juga bersedia mengambil alih projek tersebut berdasarkan segala syarat yang ditetapkan Kementerian Pertahanan.

“Korvet kelas Ada (anti kapal selam) amat sesuai untuk TLDM berbanding frigat (kapal perang peronda) kelas Istanbul yang begitu besar.

“Segala standard keperluan teknologi termasuk sistem persenjataan terpulang kepada kerajaan Malaysia sama ada mahu menggunakan sistem yang sama digunakan Turki atau sistem dari mana-mana negara lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Kebangsaan Perkhidmatan Keselamatan Asia (DSA-NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Sementara itu, Bulent Soydal berkata, pihaknya bersedia membina limbungan kapal di negara ini bagi menjayakan projek pembinaan kapal tersebut.

“Kita bukan sekadar menjual dan membina. Tetapi lebih daripada itu termasuk pertukaran tenaga mahir dan teknologi tempatan.

“Kami sama sekali tidak akan meninggalkan pihak yang telah bekerjasama dengan kami dan akan sentiasa memastikan segala penyelenggaran mengikut keperluan serta piawaian,” ujar beliau. – MalaysiaGazette