KUALA LUMPUR – Tempoh beberapa tahun akan datang adalah sangat penting dalam menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Tanpa mahu membazirkan masa Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melancarkan Pelan Strategik Pelancongan Malaysia 2022-2026 yang menetapkan semula halatuju pelancongan negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelan yang mempunyai enam tonggak itu merupakan satu perancangan yang menyeluruh untuk menyegarkan semula sektor pelancongan yang malap akibat Covid-19.
“Sebenarnya dengan enam tonggak itu ia dianggap sebagai satu penambahbaikan terhadap apa yang dilakukan selama ini.
“Terutama sekali dari segi infrastruktur. Sebab infrastruktur memainkan peranan yang penting sekali kalau tak baik, maka word of mouth juga akan mengatakan tidak payah datang ke Malaysia. Kita tidak mahu begitu.
“Kita hendak pelancong juga membantu pelancong lain datang untuk menghebahkan Malaysia dari segi infrastuktur dan kita ingin buat ‘special trourism investment zone’ untuk menguat dan menambahkan lagi produk-produk di negara kita,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran.
Enam tonggak tersebut adalah; Meningkatkan pelancongan domestik, Menjalinkan perkongsian pintar, Meningkatkan promosi pelancongan, mengoptimumkan penglibatan media, Melaksanakan gelembung perjalanan dan Melaksanakan transformasi strategik.
Nancy berharap pelan tersebut akan menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama di rantau ini.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh pemain dan pengiat industri pelancongan itu Nancy turut melancarkan Pelan Pemasaran Pelancongan Malaysia 2022 – 2026.
Sementara itu Nancy berkata, pemain industri tidak sabar untuk menunggu pembukaan semula sempadan dan ekonomi negara pada 1 April ini.
“Tadi masing-masing cakap mereka gembira. Sebab akhirnya apa yang mereka inginkan selama ini sudah kita umumkan kita buka 1 April tinggal mereka sendiri perlu bersiap sedia.
“Mungkin mereka ada perkara-perkara yang perlu hebahkan ikut keadaan hotel dan tempat mereka sendiri.
“Tapi kita sebagai kementerian kita juga ada membantu memberi pakej rangsangan melalui pakej yang diluluskan ada beberapa juta untuk aktiviti tertentu RM85 juta. Ada bantuan lain untuk RM30 juta geran inap desa,” katanya.
Kerajaan mensasarkan kehadiran dua juta pelancong tahun ini dengan nilai pendapatan RM8.6 bilion. – MalaysiaGazette