Home Nasional Jual tanah Pulau Redang: Kerajaan Terengganu akan buat siasatan

Jual tanah Pulau Redang: Kerajaan Terengganu akan buat siasatan

Ahmad samsuri mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Satu siasatan akan dilakukan berhubung dakwaan kononnya berlaku penjualan tanah milik kerajaan negeri di Pulau Redang, oleh seorang bekas menteri besar di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata siasatan itu perlu dilakukan, untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai dakwaan tersebut, yang tular di media sosial sejak minggu lepas.

“Sudah tentu (akan lakukan siasatan) sebab kita pun nak tahu juga keadaan sebenar bagaimana ia berlaku, sebab jarang kerajaan negeri menjual tanah.

“Bagi menteri besar atau kerajaan, penjualan tanah adalah benda yang besar (kesalahan), melainkan penjualan tanah (atas nama individu), itu satu perkara yang memang boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Semarak Dakwah Terengganu di sini hari ini.

Isnin lepas, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah membuat satu sidang media di Kemaman, menafikan bahawa beliau terlibat dalam penjualan tanah milik kerajaan negeri di Pulau Redang kepada seorang taikun perniagaan.

Artikel berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu turut menegaskan bahawa, beliau tidak pernah berjumpa dengan jutawan tersebut sepanjang menerajui pentadbiran negeri.

Ahmad juga memaklumkan, sudah membuat pemeriksaan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, dan tidak mengesan sebarang tanah milik kerajaan diserahkan kepada Vincent serta memberi bayangan akan mengambil tindakan undang-undang, terhadap individu yang membuat tuduhan tersebut.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata mana-mana pihak yang dituduh dengan dakwaan yang tular itu, berhak untuk mengambil apa jua tindakan termasuk membuat laporan polis.

“Buat masa ini, kita belum memeriksa rekod pemilikan tanah itu. Kita boleh periksa butirannya…namun perkara ini sudah dalam siasatan polis dan biarlah polis yang siasat dahulu,” katanya.

— BERNAMA