PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji keberkesanan penggunaan daftar masuk di aplikasi MySejahtera dalam tempoh sebulan ini sebelum dihentikan prosedur operasi standard (SOP) itu untuk masuk ke mana-mana premis.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM akan meneliti corak pergerakan dan jangkitan Covid-19 dalam waktu itu berikutan pembukaan sempadan negara dan kelonggaran dibenarkan mulai Jumaat ini.
“Saya nak tunggu sebentar (selepas) buka sempadan ini dengan adanya kelonggaran dan (aktiviti) berbuka puasa dan sebagainya.
“Saya nak tengok kalau ada apa-apa perubahan dari segi mobiliti dan jangkitan, mana jangkitan itu berlaku.
“Sekiranya tiada perubahan ketara dalam tempoh beberapa minggu, kita boleh hentikannya,” katanya selepas majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan di kementeriannya, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa amalan daftar masuk premis boleh dihentikan tatkala negara telah memasuki fasa peralihan endemik.
Sementara itu, Khairy berkata, data mengenai jangkitan dan mobiliti masih ada dalam aplikasi MySejahtera dan adalah adil sekiranya amalan daftar masuk itu dihentikan selepas tidak banyak perubahan dikesan.
Sebelum ini, kerajaan memansuhkan SOP berkaitan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk bermula 11 Februari lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, pemilik premis tidak lagi diwajibkan menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod di pintu masuk premis selepas pemansuhan itu.
Bagaimanapun, daftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan.
Dalam pada itu, daftar masuk di MySejahtera adalah fungsi yang diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun 2020.
Fungsi itu melibatkan pendaftaran premis perniagaan untuk Kod QR yang mana orang ramai perlu daftar masuk di mana-mana premis.
Ia juga berkonsepkan mudah digunakan iaitu tiada lagi borang manual perlu diisi; selamat apabila ia dapat mengurangkan risiko jangkitan melalui sentuhan permukaan kerana tidak perlu berkongsi alat tulis dan mengurangkan tempoh menunggu sebelum memasuki premis serta ‘secure’ apabila maklumat dan informasi daripada pengguna dilindungi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – MalaysiaGazette