Home Nasional Hati-hati, Ramadan berat badan kita pula yang naik – Khairy

Hati-hati, Ramadan berat badan kita pula yang naik – Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melancarkan gimik pada Majlis Penutup Program Pengerusan Berat Badan Kebangsaan dan Pelancaran Hari Aktiviti Fizikal Sedunia 2022 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 MAC 2022.

KUALA LUMPUR –  Orang ramai dinasihatkan agar merancang pembelian secara bersederhana apabila berkunjung ke Bazar Ramadan yang dijangka bermula 3 April ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ini kerana beliau mengakui kebiasaannya pengurusan berat badan seseorang individu itu menjadi kelam-kabut sepanjang Ramadan.

Malah jelas Ahli Parlimen Rembau itu, terdapat individu yang mengalami kenaikan berat badan walaupun berpuasa di bulan mulia itu.

“Zaman dulu (Ramadan), ramai yang hilang berat badan, tapi sekarang yang alami kenaikan berat badan. Saya pun terfikir macam kita boleh hilang berat badan dahulu.

“Jadi bermula tahun ini selepas tahun lepas sukar hendak ada Bazar Ramadan, kita buka (bazar), ia merupakan kejayaan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dapat buka semula.

“Berhati-hatilah, jangan kita pergi Bazar Ramadan mata kita jadi besar, lepas itu kita beli lebih apa kita hendak makan. Hari pertama sudah pasti dan kita beli lebih dan banyak yang tidak makan lepas berbuka. Jadi bersederhana dalam pemilihan.

“Bila bangun untuk sahur, ikut portion, hendak turun badan kita berlapar. Dan bulan puasa tidak bermakna kita tidak perlu beriadah dan hanya berehat. Contohnya lepas solat tarawih masih boleh melakukan latihan atau sebelum sahur dan memadai latihan selama 15 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan dan Pelancaran World Physical Activity Day 2022 di kementeriannya, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette