KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bertindak membatalkan kontrak ladang hutan melibatkan kawasan seluas 12,000 hektar berikutan terdapat syarikat yang menandatangani perjanjian gagal mengusahakannya.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, selain pembatalan kontrak, kerajaan negeri turut merampas deposit serta mengenakan denda berkaitan terhadap syarikat yang tidak bertanggungjawab itu.
“Kami batalkan kontrak dan tawar semula dalam bentuk tender baharu kepada syarikat yang berminat untuk mengusahakan semula projek ladang hutan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin mengetahui keluasan terkini yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk projek ladang hutan.
Ahmad yang juga ADUN Pasir Pekan berkata, keluasan Zon Pembangunan Ladang Hutan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kelantan yang telah diluluskan oleh mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 9 Ogos 2012 adalah 199,000 hektar. – Bernama