KUALA LUMPUR – Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan beroperasi di Lorong Tuanku Abdul Rahman bermula 9 April 2022 sehingga 2 Mei 2022.
Sehubungan itu, menurut Jabatan Perancangan Korporat DBKL, aktiviti Pasar Malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada hari Sabtu akan dipindahkan operasinya ke Jalan TAR bermula dari persimpangan Jalan Esfahan sehingga ke persimpangan Jalan Melayu sepanjang tempoh Bazar Aidilfitri 2022 berlangsung.
Sebahagian Jalan TAR akan ditutup untuk operasi pasar malam bermula jam 12 tengahari sehingga jam 12 malam (Sabtu) pada 9, 16, 23 dan 30 April ini.
“Orang awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan jika ingin ke lokasi Jalan TAR pada tarikh-tarikh yang dinyatakan untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022
Katanya, warga kota boleh membuat perancangan untuk mengunjungi bazar itu serta dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengunjung juga diminta untuk memastikan kenderaan mereka diparkir di tempat yang tidak mengganggu lalulintas, mengelakkan pembaziran di samping bersama-sama memeriahkan bazar di sekitar Kuala Lumpur.
Pada tahun ini, DBKL telah meluluskan sebanyak 77 lokasi Bazar Ramadan / Aidilfitri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – Malaysiagazette