LANGKAWI – Seorang juruterbang pelatih wanita cedera ringan apabila pesawat latihan yang dikendalikannya, tergelincir dari landasan ketika sedang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.15 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi ke tempat kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah pesawat latihan komersial (swasta) jenis Diamond-14 yang tergelincir dari landasan dan menyebabkan mangsa berumur 28 tahun, mengalami kecedaraan ringan di bahagian pinggang dan lutut di kedua-dua bahagian kaki.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua penerbangan terkandas akibat kejadian dan antara penumpang yang terlibat ialah pengamal media yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Program Pemukiman AJK Kelab Media Se-Malaysia 2022 bermula 28 hingga 30 Mac.
Menurut Setiausaha Kelab Media Putrajaya Samantha Tan yang juga merupakan petugas Bernama di Biro Putrajaya, beliau bersama penumpang lain, yang sepatutnya berlepas pada pukul 8.10 malam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) masih berada dalam pesawat, dan sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak lapangan terbang itu.
“Keadaan dalam pesawat masih terkawal walaupun ada kanak-kanak yang menangis dan kru pesawat sedang mengagihkan makanan kepada penumpang. Masih belum pasti bila pesawat boleh meneruskan perjalanan,” katanya.
— BERNAMA