Home Nasional Peniaga buat persiapan, teruja sempadan Singapura dibuka esok

Peniaga buat persiapan, teruja sempadan Singapura dibuka esok

Suasana di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral dilihat kembali rancak apabila kerajaan mengumumkan pembukaan sempadan esok.

JOHOR BAHRU – Lebih dua tahun sempadan Malaysia-Singapura ditutup ekoran penularan pandemik Covid-19 kini seberang tambak itu bakal dibuka sepenuhnya ke Johor Bahru bermula esok.

Tinjauan di kawasan lot perniagaan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral mendapati, suasana terminal bas yang dulu suram dan hambar berikutan ketiadaan pengunjung dilihat sedikit mulai rancak.

Para peniaga kelihatan membuat persediaan termasuk menambah bekalan perniagaan masing-masing.

Sebelum penutupan sempadan Malaysia-Singapura Mac lalu, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja Malaysia di Singapura berulang alik menaiki bas di terminal berkenaan selain pengunjung Singapura yang datang berbelanja hampir setiap hari dan hujung minggu.

Seorang peniaga kuih bahulu, Shahrilnizam Mohamed, 49,  mengakui teruja dengan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura esok dan turut membuat persiapan dengan menambah bekalan kuih.

Shahrilnizam yang teruja dengan pembukaan sempadan esok turut membuat persediaan dengan menambah bekalan kuih bahulu yang diusahakannya.

“Dalam masa sama persiapan peniaga begitu rancak di mana pembekal juga sudah masuk,barang sudah masuk. Macam saya sendiri tepung pun sudah masuk.

“Saya pun sudah mula main guni kalau dahulu nak main guni pun takut pasal tidak ada orang. Kali ini baru berani.

“Harapan kita biar ia secepat kembali pulih tetapi masa sama mohon SOP (prosedur operasi standard) kita ikut supaya berterusan semula,” katanya.

Jelas Shahrilnizam, berbanding dengan sebelum ini, beliau hanya mengambil bekalan tidak lebih daripada tiga kampit tepung untuk menghasilkan kuih bahulu.

Namun sejak kerajaan memberikan bayangan pembukaan sempadan akan dibuka, lebih tujuh kampit tepung bersamaan 25 kilogram (kg) telah ditempahnya.

Suasana Terminal Bas Larkin yang menjadi lokasi tumpuan warga Singapura kini hidup kembali.

Sementara itu, Abdul Wahab Sahibak, 53, bersyukur dengan pembukaan sempada dan mengakui hampir 80 peratus pendapatan peniaga di terminal itu datangnya daripada warga Singapura.

Beliau berharap pembukaan itu nanti dapat membantu merancakkan semula pendapatan peniaga seperti sebelum ini.

Abdul Wahab yang sudah 30 tahun berniaga di situ memberitahu, ketika penutupan sempadan hampir 90 peratus pendapatan beliau terjejas.

“Syukur bantuan itu adalah orang kata, kalau boleh dapat kembali seperti biasalah pelanggan-pelanggan dari Singapura dan juga pelanggan dari selatan juga sebabnya kalau boleh syukur Alhamdulillah.

“Harapan kita mahukan pulih semula seperti sebelum pendemik yang mana kedai-kedai dapat buka semula,” katanya.

Sementara itu, Rosmiati Ali, 54, turut berkongsi perasaan lega dan gembira apabila mengetahui pembukaan sempada bermula esok.

Rosmiati Ali bukan sahaja gembira dengan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura esok malah turut mengharapkan pendapatan mereka pulih seperti sebelum ini.

“Itulah kalau orang Singapura masuk memang membantu kami. Memang gembira. Mudah-mudahan ekonomi ini ada peningkatan,” katanya.

Malaysia dan Singapura sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar SOP dilonggarkan.

Selari dengan pengumuman itu, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19  termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.- MalaysiaGazette