KUANTAN – Dua sahabat masing-masing berusia 18 tahun maut apabila motosikal yang ditunggang terbabas dan melanggar lori yang diparkir di tepi Jalan Gambang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Mohamad Izhar Iskandar Mohamad Pazelong dan Wan Ezremy Shaqir Wan Erman Shafri meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian kemalangan berlaku pada pukul 4.30 pagi di Jalan Gambang, Batu 3, Tanah Putih berhampiran Kilang Pekan Sawmill Sdn Bhd dari arah Gambang menghala ke arah bandar Kuantan melibatkan motosikal dan treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Mohd Zahari, setibanya di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar lori dari arah bertentangan.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan proses bedah siasat dilakukan sejurus ujian calitan Covid-19 diperoleh.
Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette