KUALA LUMPUR – Gagasan Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) berkata pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand akan meningkatkan aktiviti rentas sempadan melibatkan tenaga kerja dan barangan.
Pengerusi Majlis Bersama Perniagaan Malaysia (JBC Malaysia) IMT-GT Tan Sri Rozali Ismail berkata, ketibaan sumber manusia dari Thailand dijangka bakal memberi impak peningkatan ke atas beberapa sektor perniagaan seperti perkhidmatan, perladangan dan perikanan.
‘Kami juga mengharapkan impak yang besar ke atas perdagangan mikro rentas sempadan, pelancongan, hotel dan makanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan negara anggota IMT-GT yang bersetuju membuka sempadan negara dan memperkenalkan beberapa langkah yang memudahkan proses kemasukan pelawat asing di pintu sempadan mulai 1 April 2022.
“JBC Malaysia menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dan kerajaan negara anggota untuk memudahkan prosedur pra-keberangkatan dan ketibaan pelawat asing.
Tambahnya, JBC Malaysia komited untuk mengutarakan idea dan cadangan kepada kerajaan dan negara anggota mengenai proses mitigasi pasca-pandemik yang akan memberi impak kepada usaha pemulihan perniagaan di wilayah IMT-GT khasnya dan negara amnya.
— BERNAMA