Home Politik NGO India perlu berani ketengah isu rakyat walaupun dapat dana kerajaan –...

NGO India perlu berani ketengah isu rakyat walaupun dapat dana kerajaan – Anwar

Anwar mengadakan pertemuan dengan 150 NGO Selangor Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pemimpin India dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lantang menyuarakan isu berkaitan masyarakatnya di negara ini.

Beliau berkata, walaupun kebanyakan NGO mendapat dana kerajaan namun itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak berjuang dalam perkara yang masih lagi menghantui masyarakat India.

“Tidak ada masalah jika sesebuah NGO itu menggunakan dana kerajaan dalam membantu rakyat tetapi sepatutnya badan-badan itu perlu menjadi bebas dan lantang bersuara.

“Peranan yang dimainkan oleh NGO amat besar dan penting buat masyarakat kita. Membawa agenda kerajaan seperti pembangunan atau kesihatan, itu tidak menjadi masalah.

“Tetapi pada masa sama, mereka juga perlu untuk tampil bagi bercakap, membawa isu-isu dan permasalahan yang sedang menghantui masyarakat India di negara ini, cakap tentang soal kerakyatan, kemiskinan, pengangguran, miskin bandar dan luar bandar.

“Janganlah asyik mengeluh kehidupan susah, kita yang mesti membawa perubahan itu,” katanya selepas mengadakan forum bersama 150 NGO India Selangor KL anjuran Kumpulan SP Care di Royal Lake Club di sini hari ini.

Dalam pada itu ketika berucap, Anwar  menasihatkan rata-rata pimpinan NGO supaya berani melakukan perubahan walaupun ada kalanya terpaksa melalui pelbagai cabaran.

“Banyak perkara yang sedang berlaku tetapi yang perlu menjadi keutamaan pada masa ini adalah rintihan dan keluhan rakyat, keadaan tidak menentu sama sekali. Pastinya NGO seperti anda juga memainkan peranan membawa suara mereka kepada kerajaan dan pihak berwajib.

“NGO merupakan platform terbaik dalam membawa hala tuju masyarakat India tanpa mengira perbezaan fahaman atau parti politik. Semua perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi meningkatkan martabat kaum ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette