Home Politik MySejahtera, KJ tak jawab siapa di sebalik syarikat terlibat dalam rundingan

MySejahtera, KJ tak jawab siapa di sebalik syarikat terlibat dalam rundingan

Razak Ridzuan

KUALA LUMPUR – Ada beberapa persoalan yang masih kabur dan tidak disentuh oleh Menteri Kesihatan berhubung penjelasannya mengenai MySejahtera dalam sidang Dewan Negara semalam.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional (Amanah), Razak Ridzuan berkata, jika MySejahtera hak milik penuh kerajaan, mengapa rundingan begitu rumit dan tidak selesai sehingga hari ini mengambil masa setahun lamanya?

Katanya, walaupun Khairy Jamaluddin mendakwa, ia hanya proses untuk memindahkan pengurusan MySejahtera daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada KKM tetapi mengapa ada bayaran tertentu dikenakan oleh KPIsoft yang kini dikenali sebagai Entomo.

“Sedangkan penukaran pengurusan boleh dilakukan secara pentadbiran dengan melibatkan agensi berkaitan dalam kerajaan yang tidak memerlukan campur tangan pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di Dewan Negara semalam Khairy memaklumkan, setiap data dan maklumat yang diperoleh menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak kerajaan Malaysia.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu merupakan antara terma utama yang terkandung dalam Perjanjian Ketakdedahan (NDA) antara MKN di pihak kerajaan dengan KPISOFT pada 1 April 2020.

Menurut Razak, antara persoalan besar yang tidak dijelaskan Khairy adalah siapa di sebalik syarikat yang berkaitan?

Ini kerana katanya, ada dakwaan menyatakan individu terlibat adalah mereka yang berkepentingan dan mempunyai kedudukan dalam parti politik tertentu dan ia antara yang menyumbang kepada kegusaran awam mengapa kaedah rundingan terus dibuat.

“Daripada awal pemilihan syarikat pengendali MySejahtera ini dibuat, apakah kerajaan tidak memikirkan ia bukan tanggungjawab sosial korporat semata-mata, tetapi adalah satu model perniagaan yang akhirnya wang rakyat digunakan untuk mendapatkan pengawalan penuh kepada perkhidmatan tersebut.

“Meskipun Khairy menyebut tidak ada apa yang ingin disorokkan, tetapi rakyat tahu beliau tidak menceritakan sepenuhnya sisi gelap isu ini.

“Rakyat tidak mempertikaikan fungsi dan kegunaan aplikasi tersebut, tetapi rakyat bimbang kerajaan sekali lagi membuat kesilapan dalam proses penyelesaian isu ini sehingga data rakyat dan dana awam terpaksa menjadi galang gantinya,” kata beliau.

Beliau turut menjelaskan, menteri itu juga enggan mendedahkan julat atau anggaran harga kerajaan perlu bayar dalam memeterai kontrak berkenaan menyebabkan pembayar cukai tertanya-tanya berapa lagi wang rakyat akan digunakan dalam keadaan ekonomi negara masih meruncing.

Kata Razak lagi, kemajuan teknologi dan penembusan data bukan sesuatu luar biasa dalam dunia hari ini.

“Meskipun Khairy menyebut wujud sistem yang boleh mengesan sekiranya terdapat aktiviti penyelewengan data namun apa jaminan dan tindakan yang boleh diambil sekiranya data tersebut benar-benar diseleweng.

“Khairy harus ingat, wang rakyat berbilion ringgit yang perlu melalui pelbagai tapisan pun boleh bocor dan dirompak keluar dari negara ini, masuk ke akaun peribadi dan pelakunya masih bebas ke sana ke sini, apa lagi data yang boleh sahaja diseludup dengan kemajuan teknologi pada hari ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette