Home Nasional Fasa endemik: Jemaah solat Jumaat rapatkan saf hari ini

Fasa endemik: Jemaah solat Jumaat rapatkan saf hari ini

Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam kedaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan jemaah solat di masjid dan surau merapatkan saf mulai hari ini mendapat respon positif.

Lebih-lebih lagi kelonggaran itu mendapat perkenan raja di kebanyakan negeri termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tinjauan MalaysiaGazette semasa solat Jumaat mendapati rata-rata jemaah kembali bekerjasama merapatkan saf solat namun masih ada yang mengambil langkah berhati-hati untuk berbuat demikian.

Ini berlaku di Masjid Ibnu Al-Khaldun Sungai Besi di sini apabila ada jemaah rasa kekok untuk merapatkan saf solat dan ada antara mereka kekal menjarakkan diri satu meter walaupun sudah boleh merapatkan saf pada jarak sejadah masing-masing.

Namun selepas peringatan imam sebelum memulakan solat supaya jemaah merapatkan saf barulah mereka akur namun masih berdiri atau duduk di atas sejadah masing-masing.

Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam kedaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

Peraturan merapatkan saf bagi solat Jumaat berkuatkuasa hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas pelaksanaan SOP baharu itu.

Jemaah juga diingatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka dengan betul dan sempurna serta digalakkan mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 untuk menguatkan imuniti melawan virus berkenaan serta mengelakkan gejala yang teruk jika dijangkiti.

Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam kedaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusannya memaklumkan bermula hari ini, aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat, selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Keputusan itu diambil susulan keputusan Malaysia beralih ke fasa peralihan ke endemik bermula April ini.

Sementara itu, tinjauan di Masjid Negara di sini mendapati majoriti jemaah mulai akur dengan kelonggaran merapatkan saf walaupun sudah dua tahun tidak berbuat demikian.

Kelonggaran itu dijangka akan dapat disesuaikan semula sepanjang Ramadan ini dengan solat tarawih dan diharap dapat mengimarahkan semula masjid dan surau di negara ini.

Namun, peperangan masih belum dimenangi dan masih ada beberapa peraturan atau SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan ketika bukan solat masih perlu dipatuhi demi kesejahteraan semua. – MalaysiaGazette