Home Nasional Ramai bersyukur dapat keluar wang KWSP teruskan kehidupan

Ramai bersyukur dapat keluar wang KWSP teruskan kehidupan

The contributors of the Employees Provident Fund (EPF) queuing up to update their personal information and opening I-Account at the EPF Headquarters of Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 01 APRIL 2022.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima sejumlah 5.3 juta permohonan bernilai RM40.1 bilion di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setakat 8 malam, 14 April, 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ingin membuat pengeluaran khas sehingga RM10,000 secara one-off sudah boleh memohon.

Rata-rata pencarum terutama yang terkesan dengan penularan Covid-19 dan banjir baru-baru ini meluahkan rasa lega kerana wang simpanan itu dapat digunakan untuk perbelanjaan terutama kepada anak-anak yang baru bersekolah dan persediaan bulan Ramadan.

Tinjauan MalaysiaGazette di ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut juga mendapati ramai pencarum mengemaskini maklumat diri dan menyemak baki akaun.

Aishah Hashim.- Foto MUHD NA’IM, 01 APRIL 2022.

Bagi Aishah Hashim, 20, beliau datang ke KWSP untuk menyemak baki simpanan Akaun 1 kerana sebelum ini sudah beberapa kali membuat pengeluaran kerana masalah kewangan.

“Jika hendak tunggu umur pengeluaran 55 tahun, memang akan mengambil masa dan saya nak keluarkan ini untuk digunakan untuk beli barang keperluan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya dirinya terjejas sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak boleh bekerja kerana mengandung dan bersyukur dengan kelulusan kerajaan untuk mengeluarkan duit simpanan demi mengurangkan beban dihadapi.

Azmi Yahya. Foto MUHD NA’IM, 01 APRIL 2022.

Bagi Azmi Yahya, 53, beliau pergi ke pejabat KWSP hari ini untuk mengemaskini akaun dan nombor telefon bagi melicinkan permohonannya membuat pengeluaran baki simpanan dana persaraannya.

Namun apabila ditanya mengenai penggantian semula amaun pengeluaran, beliau berkata; “Tak kisah fasal pulangan 20 peratus itu. Memang tak fikir dah, memang keluar sebab nak guna duit.”

Azmi menambah, kalau ada peluang sekali lagi untuk mengeluarkan wang simpanan tersebut pada masa akan datang beliau yakin ramai yang mahu berbuat demikian kerana pada masa ini ramai orang menganggur dan kesempitan wang.

Mohd Farid Shafii.-Foto MUHD NA’IM, 01 APRIL 2022.

Sementara itu, Farid Shafii, 47, kagum dengan sistem KWSP yang sistematik sewaktu beliau mengemaskini akaunnya yang hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam sahaja.

Farid juga sempat menceritakan tentang kesusahannya daripada segi kewangan sewaktu negara dilanda wabak Covid-19.

“Lepas ini kita akan mula berpuasa, tambah lagi anak-anak pula baru masuk sekolah. Masa Covid-19 datang dulu, saya berniaga kecil-kecilan sambil jual kereta namun masa wabak itu tular memang tak dapat sambutan sebab ramai orang takut,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Apa pun, hatinya senang apabila kerajaan mengumumkan peralihan negara ke fasa endemik dan kebenaran pengeluaran wang simpanan KWSP sehingga RM10,000 untuk merangsang semula kehidupan masyarakat.

Malah beliau sempat menasihati orang ramai supaya mengeluarkan wang simpanan tersebut sekiranya benar-benar memerlukan.

Jika tidak, katanya, lebih baik dibiarkan kerana ia akan berlipat ganda pada hari tua mereka.

Syed Arif Fakrul. Foto MUHD NA’IM, 01 APRIL 2022.

Syed Arif Fakrul, 27, juga  berkongsi dengan mengenai tujuannya untuk menyemak baki terkini dan mengemaskini akaun KWSP kerana mahu membuat pengeluaran sebagai persiapan perkahwinan.

Beliau yang dahulu pernah diberhentikan kerja dari sektor perhotelan ketika PKP di Terengganu dibebani kesempitan wang kini lega dapat mengeluarkan dana persaraan.

“Terasa ringan beban yang dipikul,” katanya.- MalaysiaGazette