TUMPAT – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan dalam kepimpinan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, selama 32 tahun dipimpin Pas, tidak ada sebarang perubahan dilakukan kerajaan negeri itu dari segi meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat.
Malah, katanya, rakyat hidup tertekan dengan pelbagai kenaikan cukai seperti cukai pintu, cukai tanah dan sebagainya.
“Selain itu, berlaku pembolosan hutan simpan, isu bekalan air yang tidak berkesudahan, kadar pengangguran yang meningkat dan seribu satu masalah yang mencengkam rakyat.
“Cara mengubati derita rakyat daripada kepimpinan yang tidak proaktif ini, rakyat perlu menumbangkan kerajaan ini dan gantikan dengan parti yang mempunyai wawasan dan mampu mengubah kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perjumpaan dengan penduduk Peti Undi Pusat Dalam Mengundi (PDM) Jal Besar, Tumpat, hari ini.
Sementara itu, dalam kunjungannya ke kampung yang terkesan banjir di daerah itu baru-baru ini, Ibrahim menzahirkan rasa simpati dengan nasib penduduk yang menjadi mangsa dalam bencana itu.
Katanya, sebanyak 56 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya, manakala lima lagi hanyut akibat limpahan air dari benteng yang dibina secara tidak sistematik.
“Saya akan pastikan masalah banjir ini dapat diselesaikan sesegera mungkin sebelum banjir musim akan datang berlaku.
“Sebagai tanda simpati, Putra Kelantan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa banjir,” katanya. – MalaysiaGazette