SONGKHLA – Berdasarkan statistik, kira-kira 100 orang dari sebelah Malaysia berdaftar untuk memasuki Thailand melalui pintu sempadan darat Sadao-Bukit Kayu Hitam pada hari pertama pembukaan sempadan darat itu.
Beberapa daripada mereka yang ditemui Bernama di pintu sempadan itu meluahkan kegembiraan kerana akhirnya dapat lintas sempadan untuk menziarahi sanak saudara di negara gajah putih itu.
Namun begitu, terdapat enam warga Malaysia yang terpaksa berpatah balik berikutan mereka tidak membuat permohonan “Thailand Pass” dalam talian sebelum memulakan perjalanan.
“Kami tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 3 pagi dan menunggu pintu sempadan dibuka pada 5 pagi.
“Kami sangat kecewa apabila dimaklum bahawa tidak membuat permohonan Thailand Pass dan tidak dibenarkan memasuki Thailand,” kata salah seorang penggembara yang tidak mahu namanya disiarkan.
Sementara itu, warga Malaysia Yee Teck Meng bersama isterinya yang merupakan warga Thai melahirkan kegembiraan apabila dapat pulang menziarahi ahli keluarga sebelah isterinya di Thailand.
“Saya dan isteri akhirnya dapat pulang untuk melawat ahli keluarga di sini sejak penularan COVID-19 dan penutupan pintu sempadan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sadao Surin Suriyawong berkata, proses kemasukan penggembara ke Thailand melalui sempadan darat berjalan dengan lancar walaupun timbul masalah apabila segelintir penggembara tidak menyediakan dokumen dan membuat permohonan awal untuk memasuki Thailand.
Bermula hari ini (1 April), dua pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam dan Wang Prachan-Wang Kelian dibuka semula kepada pelancong yang lengkap vaksin COVID-19.
Semua pelancong yang masuk melalui pintu sempadan darat di bawah program ‘Test & Go’ perlu memohon – ‘Pas Thailand’ secara dalam talian sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perjalanan.
Di bawah program “Test & Go” juga pengembara perlu membuat tempahan awal di hotel yang ditetapkan serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian antigen kendiri pada hari kelima. Keputusan dijangka mengambil masa empat hingga enam jam dan sekiranya keputusan negatif, mereka dibenarkan keluar dari hotel.
Selain itu, mereka perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$20,000. – Bernama