SHAH ALAM – Gara-gara memecahkan botol arak dihadapan pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor semalam, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bersama tujuh lagi rakan-rakannya ditahan awal pagi ini.
Kesemua mereka ditahan di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam kira-kira pukul 1.45 pagi tadi, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan berhubung tindakan berhimpun dan memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras di hadapan pintu utama Bangunan SUK.
“Ekoran insiden itu pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Shah Alam telah menerima aduan daripada pengawal keselamatan yang bertugas ketika kejadian berkenaan,” katanya.
Menurut Fadzil, satu siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.
Beliau berkata polis akan memohon perintah reman ke atas kesemua mereka yang ditahan di Mahkamah Shah Alam di sini pagi ini untuk siasatan lanjut kes tersebut.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Selangor dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan ahli-ahli gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.
Jamal kemudian bertindak memecahkan kesemua botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut.
Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara itu.
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya kebenaran daripada pihak polis.- MalaysiaGazette
Pesta Arak: Jamal ‘mengamuk’ pecahkan botol arak depan SUK