KUALA LUMPUR – Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) yang merupakan inisiatif program Perdana Menteri membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara untuk seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi mencari, mengenal dan membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 – 2021 yang merupakan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik serta kurang berkemampuan dari segi kewangan di seluruh negara.
Katanya, majlis perasmian program tersebut yang dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dilakukan hari ini di Pulau Pinang telah disempurnakan Yang di-Pertua, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
“Saya sangat berbesar hati dan berasa terharu dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun merasmikan JPKM Peringkat Negeri Pulau Pinang.
“TYT selalu berpesan kepada saya untuk memastikan tiada seorangpun anak- anak Pulau Pinang tercicir dari mendapat akses Pendidikan Tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, keprihatinan Tun Ahmad Fuzi yang berbesar hati untuk turun padang dan merasmikan program JPKM Peringkat Negeri Pulau Pinang itu jelas menunjukkan TYT sangat prihatin soal pendidikan anak-anak Pulau Pinang.
Secara keseluruhannya, katanya, Jelajah Pendidikan telah memberi sumbangan yang besar kepada rakyat Malaysia khususnya bagi golongan pelajar tercicir dan kurang berkemampuan untuk diberi peluang kedua melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
“PRIHATIN berharap agar pelajar lepasan SPM dan STPM tahun 2016 -2021 yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan tidak melepaskan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, Skim Bantuan Pendidikan turut disediakan kepada mereka yang layak hasil sumbangan daripada agensi – agensi kerajaan dan badan korporat,” ujarnya.
JPKM dilihat mampu memberi manfaat dan menyediakan peluang kedua dan memberi akses kepada pelajar yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading, tambahya. – MalaysiaGazette