Home Nasional Buat laporan palsu, lelaki Rohingya ditahan polis

Buat laporan palsu, lelaki Rohingya ditahan polis

SAC Rahimi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki Rohingya membuat laporan palsu dirinya disamun membawa padah selepas dia kemudiannya ditahan polis Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, suspek berusia 30-an itu membuat laporan kononnya kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) miliknya hilang akibat kejadian tersebut.

Namun hasil siasatan polis mendapati kejadian yang didakwa berlaku pada 28 Mac lalu di kawasan jejantas berhampiran Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu itu sebenarnya tidak berlaku.

“Hasil siasatan mendapati tukang sapu itu sengaja membuat laporan palsu bagi mendapatkan kad UNCHR baharu kerana kad lamanya sudah hilang selain tamat tempoh pada tahun lalu.

“Susulan itu, lelaki terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah  Timur Laut untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Rahimi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana ia adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Ia juga menyusahkan pihak polis bagi menjalankan siasatan yang sepatutnya diguna terhadap kes lain demi kepentingan masyarakat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette