Home Seni Hidup ‘Jutawan Sampah’ mahu ajar pihak malukan orang guna fitnah

‘Jutawan Sampah’ mahu ajar pihak malukan orang guna fitnah

Mohamad Azlan atau lebih popular dengan gelaran jutawan sampah.

KUALA LUMPUR – Semalam heboh apabila Mohamad Azlan Abdullah @ Ali bertindak memulakan tindakan saman sehingga mencecah RM10 juta terhadap lima individu yang memfitnahnya dalam laman sosial Facebook.

Beliau dikenali jolokan ‘Jutawan Sampah’ kerana pernah bekerja sebagai pemungut sampah sebelum berjaya dalam perniagaan mengakui kecewa sikap sesetengah pihak yang suka memburukkan orang lain.

Malah ketika berkongsi perasaannya, jutawan muda berasal dari Besut, Terengganu itu mendedahkan ada antara yang disaman itu adalah orang yang pernah mengenalinya dan dianggap seperti ahli keluarganya sendiri.

“Bukan senang untuk saya sampai ke tahap ini tetapi apabila ada yang melakukan perbuatan sia-sia dengan menaburkan fitnah yang bukan sahaja tidak benar tanpa fakta sebaliknya juga cubaan menjatuhkan dan mencemarkan maruah saya, saya tidak akan sesekali bertoleransi.

“Bagaimana hendak bertolak ansur dengan golongan yang kerjanya hanya melakukan sebaran fitnah seperti ini? Bukannya saya tidak boleh dikritik, kritikan membina itu saya boleh terima tetapi bukanlah dengan fitnah jelik dan menghasut.

“Hantaran ini dilakukan secara berterusan dan dikongsi ramai orang termasuk dalam kumpulan Anak-Anak Jertih dan Cakna Besut Terengganu, ini memalukan saya sehinggalah hantaran itu dihentikan apabila saya melantik peguam untuk menghantar notis saman

“Ini bukan sahaja hak untuk saya menegakkkan kebenaran sebaliknya untuk membuktikan kepada segelintir di luar sana ini adalah perjuangan untuk kehidupan berprinsip,” katanya ketika ditemui semalam.

Untuk makluman, Mohamad Azlan pernah tular kerana membawa kegembiraan kepada kira-kira 400 penduduk Besut yang juga tempat kelahirannya apabila mempelawa mereka menaiki helikopter secara percuma.

Bagaimanapun, pelawaan itu kemudian cuba memanipulasi masyarakat mengenai pemilikan helikopter yang digunakan oleh jutawan itu untuk tujuan perniagaan hartanah.

Kata Mohamad Azlan yang juga Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd sebelum memulakan tindakan saman, beliau pernah cuba berjumpa dan berbincang dengan pihak yang tidak berhenti-henti memfitnahnya sejak April 2021 hinggalah September tahun itu.

“Mereka cakap saya menipu, kemudian mereka cakap saya ini gila selain menggelar dengan pelbagai panggilan-panggilan jelik. Tetapi akibat fitnah dan cercaan ini, saya pula terpaksa kehilangan rakan niaga, pelabur yang pada awalnya menunjukkan minat dengan urus niaga saya. Sampai begitu sekali.

“Ini sahaja caranya, sebenarnya umum perlu tahu jika hendak sesekali mengeluarkan kenyataan tidak kisah apa pun platform mereka terutamanya media sosial tanpa fakta atau asas kukuh, undang-undang ada untuk membela mereka. Jangan sewenang-wenangnya lakukan fitnah. Besar dosa dan tanggungan anda kelak.

“Daripada menabur fitnah dan ada pula mempercayainya, ada baiknya jika golongan ini membuka fikiran untuk melihat kejayaan yang ditonjolkan itu pada sudut positif dan tidak mencari titik kelemahan yang tidak menguntungkan,” ujarnya.

Kisah hidupnya dari pengutip sampah kepada ahli perniagaan bergelar jutawan pernah diabadikan menerusi penulisan buku bertajuk Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saman RM10 juta menanti 5 individu fitnah ‘jutawan sampah’