Home Nasional Sebak dapat tunai solat tarawih rapat saf tahun ini – Jemaah

Sebak dapat tunai solat tarawih rapat saf tahun ini – Jemaah

Sebahagian jemaah menunaikan solat Tarawih pada malam pertama bulan Ramadan dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Perasaan sebak dan terharu mengiringi emosi sebilangan besar jemaah Masjid Kampung Baru di sini setelah usai menunaikan solat tarawih pertama malam ini.

Sebahagian jemaah menunaikan solat tarawih pada malam pertama bulan Ramadan dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

Salah seorang daripadanya, Nazri Bulkhani, 56, mengakui jiwanya  tersentuh apabila dibenarkan untuk menunaikan solat sunat sempena Ramadan itu tanpa ada lagi penjarakan sosial seperti dua tahun lepas.

Nazri Bulkhani. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

“Syukur sangat-sangat rasa sebak sebab sudah dua tahun kita tidak dapat rasa suasana solat berjemaah di masjid beramai-ramai, jadi ini malam yang pertama saya rasa bersyukur sangat-sangat.

“Mudah-mudahan diberikan kesihatan yang baik dan dapat habiskan solat tarawih sampai habis Ramadan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menunaikan solat tarawih di sini malam ini.

Norazura Osman. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

Bagi isterinya, Norazura Osman, 53, perasaan syahdu menyelubungi hatinya tatkala mula-mula menunaikan rakaat pertama solat sunat tarawih.

Perasaan itu, katanya, tidak dapat digambarkan kerana bersyukur masih diizinkan menjadi tetamu Allah menjelang Ramadan.

“Alhamdulillah, syukur teramat sangat sebab sudah dua tahun kita tidak boleh kerjakan solat tarawih secara berjemaah di masjid.

Sebahagian jemaah menunaikan solat Tarawih pada malam pertama bulan Ramadan dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

“Hari ini kita diberikan peluang untuk menunaikan solat tarawih, syukur kepada Allah sebab sepatutnya dengan Covid-19 ini memang dia ada hikmah dengan mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

“Syahdu sangat hati ini selepas menunaikan solat tarawih tadi,” katanya yang datang dari Puchong.

Bagi Abdul Rashid Abdul Rahman, 70, pula juga bersyukur atas keprihatinan kerajaan yang membenarkan solat tarawih tanpa jarak lagi sejajar dengan fasa peralihan endemik Covid-19.

Abdul Rashid Abdul Rahman.- Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

“Alhamdulillah pandemik sudah reda sedikit, tidak ada masalah.

“Saya bersyukur sebab dah lama tak solat tarawih ramai-ramai di masjid jadi saya rasa bagus dan positif sebab dapat tunaikan solat  malam ini.

“Keberkatan itu mudah-mudahan diberkati Allah,” katanya lagi.

Menurut Yusrizal Taswar, 37, beliau berbangga dengan kerajaan yang mengikuti langkah negara-negara luar yang juga mula membenarkan rakyatnya untuk menunaikan solat tarawih beramai-ramai tanpa penjarakan satu meter lagi.

JYusrizal Taswar.- Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

“Memang sepatutnya kita sudah lama buat perkara ini sebab kalau sektor hiburan umpamanya sudah tidak ada jarak tapi masjid masih ada penjarakan tapi alhamdulillah kita akhirnya dapat apa yang kita nak selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar Ibrahim, 64, menasihatkan agar jemaah patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) biar pun telah dibenarkan untuk solat tanpa jarak.

Ujarnya, Covid-19 yang masih ada menular di negara ini tidak boleh dipandang enteng.

Abu Bakar Ibrahim.-Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

“Bersyukur sebab inilah yang kita mahukan rasanya sudah dapat peluang solat rapat-rapat di bulan Ramadan ini kita gunakan sebaik dan SOP kena jaga juga. Jangan ambil mudah sebab perkara ini kita hadapi hari-hari.

“Tahniah kepada yang berjaya datang untuk solat tarawih secara berjemaah malam ini,” katanya.

Sebahagian jemaah menunaikan solat Tarawih pada malam pertama bulan Ramadan dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dan solat sunat tarawih dibenarkan di semua surau serta masjid di Wilayah Persekutuan berkuat kuasa 1 April ini selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Perkara itu antara enam ketetapan baharu yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah, selain berdasarkan garis panduan serta SOP bagi aktiviti di masjid dan surau.

Bagaimanapun, kebenaran itu masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette