KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bukan taraf Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diajaknya berdebat.
Tujuan bekas Ahli Parlimen Pandan itu membuat cabaran tersebut hanya kerana mahu menumpang kepopulariti Najib yang masyhur dengan panggilan ‘Bossku’ sahaja.
Menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, kini Rafizi perlu menumpang sesiapa sahaja yang popular untuk menaikkan namanya selepas menghilang tiga tahun daripada politik PKR.
“Rafizi ini bukan level ‘Bossku’ untuk dia debat. Dia cuma nak tumpang glamor ‘Bossku’ sahaja selepas dia menghilang tiga tahun.
“Sekarang dia perlu cari publisiti semula untuk lawan Datuk Seri Saifudin Nasution dalam pemilihan jawatan PKR.
“Saya ingat sebelum dia debat dengan ‘Bossku’, adalah lebih baik dia debat dengan Saifuddin Nasution dulu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Rafizi bersedia untuk berdebat secara terbuka dengan Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri.
Beliau setuju untuk berdebat dengan Najib, kalau mana-mana pihak hendak menjemputnya.
Mengulas lanjut, Isham bagaimanapun mengajak Rafizi berdebat dengannya.
“Dulu Rafizi pernah kalah semi-final semasa saya menang pemidato terbaik debat Piala Perdana Menteri tahun 1991. Tahun 1992 baru dia menang.
“Sekarang mungkin dia nak ulang debat dengan saya. Saya ok dan tunggu saja.
“Tapi saya rasa dia segan nak debat dengan saya. Sebab nanti kalau auta dia tidak dapat lawan fakta, mungkin dia akan hilang lagi tahun, wallahualam. Atau bagi saya debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – MalaysiaGazette