KUCHING – Peniaga dinasihatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan mereka susulan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan sempadan semestinya akan merancakkan sektor ekonomi dengan kedatangan pengunjung dari luar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan tertentu dalam pasaran.
“Apabila kita buka sempadan orang asing akan datang melawat dan memang permintaan barangan akan meningkat seperti barang makanan juga barangan lain.
“Sebab itu kita rayu pada peniaga jangan ambil peluang mengaut keuntungan yang tidak berpatutan kerana ini satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Pantau 2022 di sini hari ini.
Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April dan membuka semula sempadan negara selepas dua tahun hidup dibayangi pandemik COVID-19.
Sementara itu, Nanta berkata, kementeriannya akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini menerusi Ops Pantau 2022.
Katanya, Ops Pantau bertujuan memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah.
“Ops Pantau 2022 ini akan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit,” katanya. – Bernama