PETALING JAYA – Tindakan seorang warga asing yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan dengan memecut kereta Proton Wira Aeroback gagal.
Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, lelaki yang dikejar kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pasukan peronda bermotosikal itu diberkas di Pinggiran Subang, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintanden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek berumur 40 an itu didapati memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota polis dari Unit Kereta Peronda IPD Petaling Jaya mengesan kenderaan dipandu suspek berdekatan Jalan Sungai Buloh menghala ke Subang di kawasan Kota Damansara sekitar jam 5.30 petang.
“Polis kemudiannya menahan suspek dan ketika melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar anggota polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu suspek sebelum lelaki itu memecut dan melarikan diri.
“Suspek kemudiannya telah dikejar oleh anggota Unit Kereta Peronda tersebut, situasi berkenaan kemudiannya dihebahkan Pusat Kawalan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Petaling Jaya sebelum anggota polis bermotosikal turut mengejar kenderaan suspek.
“Suspek kemudiannya berjaya dikepong dan dihalang kenderaannya di hadapan sebuah deretan rumah kedai sebelum suspek turun dari kenderaan dan cuba melarikan diri tetapi berjaya dikepong diberkas di kawasan bandar pinggiran Subang dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal(URB) IPD Petaling Jaya dan Unit Kereta Peronda IPD Sungai Buloh,” ujar beliau.
Menurut Ku Mashariman, suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette