ISLAMABAD – Presiden Pakistan, Arif Alvi dikatakan meluluskan pembubaran Perhimpunan Nasional (parlimen), lapor beberapa laporan media.
Menteri Penerangan, Farrukh Habib menerusi akaun Twitter berkata, menurut perlembagaan negara, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 90 hari daripada pembubaran perhimpunan tersebut.
Terdahulu, dalam tindakan yang tidak diduga, Perdana Menteri, Imran Khan berkata, beliau telah menasihati presiden untuk membubarkan parlimen negara itu dan mengadakan pilihan raya.
Langkah tersebut dilakukan sejurus selepas Timbalan Speaker Parlimen menolak usul tidak percaya terhadap perdana menteri, yang sifatkan sebagai ‘melanggar perlembagaan’, lapor agensi berita, Anadolu.
Gabungan pembangkang yang diketuai Pakistan People’s Party (PPP) dan Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N) mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Khan pada 8 Mac lalu, dengan alasan majoriti ahli parlimen telah hilang kepercayaan terhadap perdana menteri.
“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh negara di atas kejayaan ini. Timbalan speaker telah menolak usul tidak percaya yang dikemukakan pembangkang terhadap kerajaan, yang mana diarahkan oleh kuasa asing,” kata Khan dalam ucapannya kepada negara.
“Saya telah menasihati presiden untuk membubarkan perhimpunan dan mengadakan pilihan raya baharu.
“Biar rakyat menentukan siapa yang mereka mahu berkuasa. Ia bukannya kuasa asing yang menentukannya,” katanya.
Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada parlimen akan dibubarkan.
Terdahulu, Timbalan Speaker, Qasim Suri memutuskan usul yang dikemukakan pembangkang ‘berlawanan dengan perlembagaan’ ketika ‘kuasa asing’ barada di belakang tindakan tersebut.
Oleh itu, beliau memutuskan undian usul tidak percaya yang dijadualkan pada hari tidak boleh dilaksanakan.
Sebaik sahaja sesi pengundian bermula, Menteri Penerangan, Fawad Chaudhry, yang juga memegang portfolio menteri undang-undang, bangun dan meminta timbalan speaker membuat ketetapan terhadap ‘ketulenan perlembagaan’ ke atas usul undi tidak percaya itu.
Suri yang menerima pendirian Chaudhry menolak usul yang disifatkan bertentangan dengan undang-undang dan peraturan parlimen serta perlembagaan.
Menyifatkan langkah perdana menteri sebagai tidak berpelembagaan, Ketua Pembangkang, Shehbaz Sharif berkata, Khan dan timbalan speaker akan dibicarakan kerana khianat.
Menurut beliau, kedua-dua individu itu bertindak menentang perlembagaan.
Beliau berkata, pembangkang akan meminta Mahkamah Agung bertindak terhadap langkah Khan yang tidak berpelembagaan itu.
Sementara itu, pengundian untuk memilih Ketua Menteri Punjab yang baharu tidak dapat dilakukan berikutan kekecohan itu. – Agensi