Home Nasional Sasar 80,000 hektar tanaman jagung menjelang 2033

Sasar 80,000 hektar tanaman jagung menjelang 2033

Ahmah Hamzah (kanan) pada Program Jualan Kasih Ramadan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) di Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Seluas 80,000 hektar kawasan seluruh negara akan dijadikan tanaman jagung bijian menjelang 2033 bagi menampung permintaan negara yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan import dari negara luar.

Menurutnya, tindakan itu juga susulan kementerian yang menyedari peningkatan harga mendadak makanan haiwan itu di pasaran dunia sehingga memberi pelbagai kesan termasuk harga ayam semasa.

“Hasrat kita adalah untuk mengurangkan kebergantungan sumber dari luar agar kita dapat beli makanan keluaran negar sendiri. Memang dulu kita pernah tanam jagung bijian, tetapi disebabkan harganya yang murah, kita pilih untuk beli dari luar kerana lebih ekonomi.

“Tapi nampaknya saban tahun harganya semakin naik, daripada RM500 satu tan, pergi kepada RM900 satu tan pada 2020 dan akhirnya pada 2022 ia naik mendadak sebanyak 110 peratus menjadi kepada RM1,900 satu tan.

“Sebab itu sekarang ini kita sedang cari kawasan-kawasan lain yang bersesuaian untuk penanaman jagung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jualan Kasih Ramadan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) di sini hari ini. Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazale Muhamad.

Mengulas lanjut, Ahmad turut mengalu-alukan syarikat swasta untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha tanaman itu yang menyasarkan sekitar 80,000 hektar kawasan seluruh negara akan diusahakan dengan tanaman jagung bijian menjelang 2033.

Tambahnya, kementerian menerusi Dasar Agromakanan Negara, juga mengambil langkah sistamatik termasuk menjalankan penyelidikan melalui agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mencari sumber alternatif.

“Antara penyelidikan ditemui penggunaan isirong kelapa sawit (PKC) yang boleh dijadikan makanan alternatif bagi haiwan ternakan seperti unggas, ayam dan itik selain haiwan ruminan seperti lembu, kambing, kerbau dan sebagainya.- MalaysiaGazette