JASIN – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak dapat memberi jaminan bekalan ayam dan telur di negara ini mencukupi sepanjang Ramadan dan Syawal ini.
Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagaimanapun segala usaha telah dilakukan bagi memastikan bekalan dan harga dibekalkan kepada pengguna mencukupi.
“Pada ketika ini yang paling kita bimbang sedikit adalah bekalan ayam dan telur yang diharapkan ianya dapat memenuhi permintaan sepanjang Ramadan dan Syawal ini.
“Setakat ini petanda-petanda (ada bekalan) cukup baik, tapi tak dapat anggarkan sama ada ianya mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Kasih Ramadan MAFI dan Parlimen Jasin di Perkarangan Pusat Khidmat Parlimen Jasin hari ini.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Wira Ghazale Muhamad.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya turut berharap bekalan ayam dan telur terus stabil kerana kerajaan telah memberikan subsidi kepada penternak untuk membantu mereka bagi tempoh empat bulan bermula 5 Februari sehingga 5 Jun ini.
“Kita sudah tetapkan harga jualan runcit maksimum bagi sekilogram ayam adalah RM8.90 setelah disubsidi 60 sen bagi sekilogram manala telur juga mereka dapat subsidi lima sen sebiji,” katanya.
Pada 4 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan krisis bekalan telur ayam dijangka memuncak apabila bekalan di seluruh negara dijangka merosot sehingga 4.5 juta biji sehari atau lebih menjelang Ramadan dan Syawal ini.
Angka itu berdasarkan kira-kira 1,500 pengusaha ladang ayam penelur yang membekalkan antara 27 juta hingga 30 juta telur sehari terpaksa mengurangkan pengeluaran sehingga 15 peratus kerana tidak mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat.
Susulan itu pada 9 Februari lalu, Jemaah Menteri, mengumumkan pemberian subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 sekilogram.
Jemaah Menteri turut bersetuju memberi subsidi sebanyak lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori bagi meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.- MalaysiaGazette