Home Pendapat Ilmu tanpa adab bagaikan akal dikuasai emosi

Ilmu tanpa adab bagaikan akal dikuasai emosi

Ada adab-adab yang perlu dijaga semasa menuntut ilmu. Gambar hiasan

ILMU adalah sesuatu yang amat penting malah mungkin pengukur kepada tahap kebolehan seseorang ketika menempuh alam pekerjaan kelak. Tanpa ilmu juga, setiap amal ibadat kita mungkin tidak cukup sempurna atau tidak dikira. Ia seperti perkara yang sia-sia dilakukan kerana amal tanpa ilmu adalah seperti debu yang berterbangan lalu hilang dibawa angin.

Kerana itulah ilmu sangat dititikberatkan dalam kehidupan kita. Sejak dari kecil, kita dihantar ke sekolah malah ibu juga telah mendidik kita sejak kita di dalam kandungan lagi. Betapa pentingnya ilmu sehinggakan tahap ilmu kitalah juga akan membimbing kita ke jalan yang benar di mana Islam sangat menuntut kita untuk menuntut ilmu sehingga ke liang lahat. Ayat al-Quran yang pertama disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW juga adalah ‘iqra’ bermaksud bacalah.

Namun ilmu tanpa adab boleh merosakkan insan yang berilmu. Para ulama dan cendekiawan dahulu sememangnya mempelajari adab bertahun lamanya sebelum mereka mempelajari ilmu yang lain. Ini kerana, penuntut yang tidak beradab tidak akan menampakkan dia itu berilmu tinggi. Ilmu dan adab adalah seperti badan dan nyawa. Tidak akan hidup dan berguna ilmu seseorang itu jika dia tidak beradab.

Namun di zaman teknologi yang semakin rancak ini, generasi berilmu dilihat bagai melupakan adab walupun tingginya ilmu di dada. Suatu ketika dulu heboh sikap pelajar yang ghairah melampiaskan ketidakpuasan hati terhadap institusi pendidikan yang dianggap menyusahkan dan tidak memahami masalah mereka ketika belajar dalam situasi pandemik. Kini viral pula kisah pengajar yang tidak dapat mengawal emosi menggunakan bahasa kurang elok terhadap pelajar.

Sering dilihat media sosial menjadi tempat menyebarkan sesuatu secara cepat. Jika dulu mungkin seperti tidak kedengaran isu-isu seperti ini dibangkitkan. Namun inilah normal kini yang seperti tiada lagi batasan untuk sesuatu perkara yang tiada tapisan terus tersebar luas tanpa disoal siasat terlebih dahulu. Inilah keadaan dunia kini yang penuh dengan fitnah. Sukar menentukan yang benar dan yang tidak. Lebih masalah jika sesuatu perkara ditimbang dan dihujah sebelum ilmu dan akal ditunjangkan ketika amal dilakukan. Inilah natijahnya jika ilmu tidak disertakan dengan adab.

Adalah lebih baik berfikir dahulu sebelum melakukan atau menyatakan sesuatu. Apa lagi di zaman kini yang terlalu mudah keburukan itu atau kebaikan itu disalah ertikan. Seseorang yang terpelajar seharusnya tidak akan janggal adabnya. Tidak kiralah dalam tutur kata, perbuatan malah emosinya. Memberi ilmu seharusnya dengan cara yang berhikmah dan membangun manakala penerima ilmu seharusnya terima dengan tenang agar ilmu itu tinggi keberkatannya kelak.

Kita tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya atau sebelumnya atau selepasnya. Mungkin tiada niat buruk atau ada sesuatu yang mengganggu sehingga terlahir perkara dan keputusan yang mungkin dilihat tidak dijangkau dek akal. Bukan tiada pengajar yang bekeng ketika mengajar. Namun saya yakin niatnya hanyalah satu untuk memastikan ilmu diberi itu bermanfaat kepada pelajarnya. Bukan tiada pelajar yang sukar menerima ilmu atau sukar mencapai jangkaan pengajar yang sudah pasti menjadi cabaran buat si pengajar.

Namun yakinlah kerana kekurangan itulah maka mereka memilih kita untuk menyampaikan ilmu yang dicari. Ajarlah dan tegurlah seadanya. Jangan mudah melatah sehingga lupa bahawa lidah itu lebih tajam dari pisau. Mampu membunuh jiwa yang murni. Jangan pula menjadi penyebab kepada dendam di hati. Sekali lagi adab itu adalah tunjang kepada pengajar dan pelajar dalam mencari ilmu. Sebagaimana kuatnya semangat ulama terdahulu belajar ilmu adab sehingga berpuluh tahun lamanya adalah kerana mahukan ilmu yang dicari itu berkat dan boleh dimanfaatkan.

Bukannya hanya sebagai tanda tingginya darjat atau besarnya pangkat seseorang sehingga boleh melupakan adab dan hormat dalam menyampaikan sesuatu. Berfikirlah dulu sebelum menulis atau berkata-kata. Rasional dahulu sebelum berkongsi sesuatu terutama di media sosial kerana padahnya mungkin tidak dapat dibayangkan. Adalah lebih baik ketidakpuasan hati itu disalurkan ke saluran yang betul agar masalah dapat ditanganin dengan lebih berhemah. Saling menghormati itu penting kerana itulah bukti seseorang itu berilmu malah beradab mulia. Itulah orang yang paling dilihat di sisi Allah.

Dr Nusima Mohamed, Pensyarah dan Dr Nor Azlina Ismail,
Pensyarah Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia