JAKARTA – Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang guru kerana merogol 13 pelajar perempuan di sebuah sekolah agama berasrama penuh (pesantren).
Herry Wirawan, 36, yang juga pemilik sekolah agama tersebut pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Bandung pada Februari lalu namun pendakwa raya telah memfailkan rayuan untuk hukuman mati terhadapnya.
Herry bersalah merogol 13 pelajarnya yang berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun beberapa kali sejak 2016 di beberapa sekolah tempat dia mengajar dan mengakibatkan lapan mangsanya hamil, menurut seorang hakim pada Februari.
Mahkamah Tinggi Bandung juga memerintahkan tertuduh membayar sejumlah IDR300 juta (RM88,094) sebagai pampasan kepada mangsa.
Kesemua 13 mangsanya akan menerima pelbagai jumlah pampasan.
Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA) Indonesia menyokong gesaan untuk hukuman mati, walaupun suruhanjaya hak asasi manusia negara itu menentang hukuman mati yang disifatkan sebagai tidak wajar.
Hukuman yang dikenakan terhadap Herry adalah hukuman paling berat yang dijatuhkan oleh mahkamah kepada seorang tertuduh yang disabitkan bersalah mencabul kanak-kanak di Indonesia.
Di bawah undang-undang Indonesia, perogol kanak-kanak secara amnya dikenakan maksimum 15 tahun penjara. -Reuters (https://www.reuters.com/world/asia-pacific/indonesian-court-sentences-teacher-death-raping-13-students-2022-04-04/)