PUTRAJAYA – Sebanyak tujuh aduan berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pemandu kenderaan plat pendaftaran kenderaan asing di Johor sejak sempadan dibuka semula pada 1 April lalu.
Daripada aduan berkenaan, dua daripadanya melibatkan kenderaan dengan plat pendaftaran Singapura seperti yang tular semalam manakala lima lagi aduan diterima hari ini.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, sehingga kini, dua stesen minyak di Johor disiasat kerana dipercayai terlibat dalam penjualan petrol bersubsidi itu kepada kenderaan asing.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti, kita sedang dapatkan status terakhir siasatan terhadap dua stesen minyak di negeri Johor.
“Kita sedang di peringkat akhir untuk siasatan tersebut,” katanya ketika sidang media di menara KPDNHEP hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu kenderaan dengan plat pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95 yang tular di media sosial sejak semalam.
Isu berkenaan kemudiannya mengundang kemarahan netizen.
Mengulas lebih lanjut Azman berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP akan melaksanakan pemeriksaan dengan lebih ketat dan kerap bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
“Kita arahkan pemeriksaan yang lebih ketat dan kerap dilaksanakan di stesen-stesen minyak.
“Kami juga telah memberi amaran kepada semua pemilik stesen minyak dan syarikat minyak sekiranya didapati bersalah kita teragak-agak mengambil tindakan bersesuaian dengan undang-undang,” jelasnya.
Katanya lagi, kementerian berkenaan sejak 2018 sehingga ke hari ini sentiasa memantau kegiataan ini bukan hanya menerusi pemeriksaan malah memberi amaran di pam minyak dan program lawatan mengejut yang dijalankan oleh penguat kuasa.
“Tahun 2018 kita telah mengeluarkan arahan kepada semua stesen minyak yang beroperasi di kawasan sempada iaitu 25 kilometer (km) di sempadan Johor dan 50 km di sempadan Thailand tidak menjual RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing. 2020 kita tambah baik arahan tersebut motosikal berpendaftaran asing juga tidak boleh.
“Kami juga telah memperkenalkan pelekat-pelekat amaran untuk ditampal di setiap pam minyak.
“Jadi itu adalah perkara kami telah lakukan ditambah pula insiatif kepada 281 stesen sempadan ada program lawatan mengejut dan escort peronda khas,” tambahnya. – MalaysiaGazette