Home Nasional Ambulans bawa pesakit Covid-19 rempuh motosikal

Ambulans bawa pesakit Covid-19 rempuh motosikal

Kemalangan melibatkan ambulans dan motosikal di Jalan Besar Jengka 15, Maran petang semalam tidak meragut sebarang nyawa di Maran semalam.

KUANTAN – Sebuah ambulans yang membawa tiga penumpang termasuk pesakit Covid-19 terbabit dalam kemalangan apabila merempuh sebuah motosikal di Jalan Besar Jengka 15 dekat Maran semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, wanita pesakit Covid-19 yang sedang mengandung dan dua kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tekam termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Superintendan Kamarulzaman Jusoh

“Bagaimanapun, penunggang motosikal mengalami kecederaan di kepala dan di hantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian itu, ambulans dari arah Sungai Tekam menuju ke Hospital Temerloh telah melanggar motosikal jenis Honda Wave pada pukul 3.15 petang.

Jelas Kamarulzaman, setibanya di tempat kejadian, pemandu ambulans  telah melihat  penunggang motosikal dari arah kiri cuba membuat pusingan U.

“Pemandu ambulan telah cuba untuk menekan brek namun oleh kerana jarak yang terlalu dekat, kemalangan berlaku dan beliau melanggar bahagian tepi sebelah kanan motosikal mangsa,” katanya.

Kamarulzaman berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette