Home Nasional Pesawat Malaysia Airlines alami masalah teknikal berpatah balik ke KLIA

Pesawat Malaysia Airlines alami masalah teknikal berpatah balik ke KLIA

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo . Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang mengalami masalah teknikal ketika dalam perjalanan ke Tawau semalam berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Datuk Chester Voo yang mengesahkan perkara itu berkata, tindakan juruterbang pesawat MH2664 mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Pesawat itu telah mendarat dengan selamat pada pukul 5.03 petang dan juruterbang serta pembantu juruterbang telah mengendalikan isu teknikal tersebut dengan selamat dan pesawat berkenaan kembali ke Kuala Lumpur bagi tujuan penyelenggaraan.

“CAAM sedang berhubung rapat dengan MAB untuk memastikan segala perkara berkaitan
keselamatan teknikal ditangani sebaiknya mengikut segala prosedur keselamatan dan peraturan termasuklah maklum balas juruterbang dan proses airworthiness bagi jenis pesawat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan melihat semula Sistem Pengawasan Data Penerbangan dalaman MAB yang memantau dan merekodkan semua profil data penerbangan pesawat tersebut.

“Data awal menunjukkan maklum balas yang betul daripada kru operasi berhubung isu teknikal ini.

“CAAM akan terus memantau situasi ini dan tidak akan berkompromi atas sebarang isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan sekuriti operasi syarikat penerbangan dan orang awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette