KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) bersama parti-parti politik lain
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat parti yang diadakan semalam.
“MPT Bersatu memutuskan untuk memberikan mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain,” katanya dalam satu kenyataan rasmi parti itu, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin itu antara lain turut membincangkan hal-hal berkenaan pengurusan parti, perkembangan politik tanah air dan keputusan Pilihan Raya Negeri Johor 2022 yang diadakan pada 12 Mac lalu.
Minggu lalu, media melaporkan Muhyiddin ada membuat perjumpaan empat mata bersama-sama dengan pemimpin politik lain antaranya pengerusi parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada Jumaat, Mahathir mendakwa Muhyiddin bertemu beliau untuk mendapatkan sokongan dalam usahanya untuk kembali menjadi perdana menteri.
Malah beberapa hari selepas itu, Presieden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal pula mendedahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ada menghubunginya dan dipercayai bagi membentuk kerjasama baharu menjelang PRU-15.
Bagaimanapun, Shafie sudah memberikan kata putus untuk menolak permintaan tersebut. – MalaysiaGazette