KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan terus membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dalam memastikan keperluan dan kebajikan mereka terjaga dan tidak tercicir dalam kelompok masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, komitmen yang diberikan kerajaan negeri ialah memberi sokongan kepada golongan itu.
“Hari ini, dalam perjalanan untuk menghadiri Mesyuarat di Sungaig Ular, Kuantan, saya singgah menyampaikan cek sumbangan Menteri Besar Pahang berjumlah RM30,000 untuk menaiktaraf keperluan pelajar istimewa di sekolah itu.
“Sebagai pemimpin rasa bersyukur kerana dapat membantu mereka memudahkan urusan seharian mereka di sekolah.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang tidak pernah menghampakan permintaan demi kebajikan rakyat negeri Pahang,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu Shahaniza berkata, beberapa bulan lepas beliau dikunjungi guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau yang ingin memohon peruntukan bagi menaiktaraf laluan khas dan tandas untuk kegunaan pelajar autism.
“Kemudahan ini memanfaatkan yang seramai lebih 60 orang pelajar OKU di SK Bukit Sekilau.
“Saya sangat kagum dengan komitmen dan kesabaran yang tinggi guru-guru kelas pendidikan Khas ini dan nampak anak-anak juga kelihatan selesa juga gembira belajar di sini,” katanya. – MalaysiaGazette